Sunday, December 27, 2009

Bancuhan tepung gorengan

Ini adalah gorengan mengunakan bancuhan seperti resepi dibawah tetapi tidak dimasukkan kuib air batu kerana tiada stok.
Ini pula adalah gorengan kedua selepas bancuhan dimasukkan ketulan kuib air batu. Memang ranggup.....tak rugi mencuba.

Bancuhan untuk tepung goreng

BAHAN-BAHANNYA

75gm Tepung Naik Sendiri

60gm Tepung Beras

1 camca besar Tepung Jagung

1 biji telur

60ml-80ml air - Jangan tuang semua, ikut pekat yang dikehendaki

sedikit serbuk kunyit/pewarna kuning

sedikit air kapur (1/2 sudu teh kapur + sedikit air)

4-5 ketul kiub air batu


CARA-CARANYA

  1. Masukkan semua tepung, garam, serbuk kunyit/pewarna. Buat bulatan ditengah-tengah dan pecahkan telur, masukkan air kapur dan kemudian air sedikit demi sedikit. kacau rata.
  2. Biarkan selama 15 minit. Bila hendak mengoreng, baru masukkan ketulan air batu tersebut. Jangan lebih kerana akan mencairkan bancuhan.
  3. Bancuhan ini boleh digunakan untuk semua gorengan seperti goreng pisang, keledek atau kacang.
Untuk buat doh kacang
  • 250gm kacang hijau - direbus sehingga empuk
  • 150gm kelapa parut
  • 2 ketul gula melaka
  • 2-3 sudu makan gula (tambah jika kurang manis, ikut citarasa anda)
  • sedikit garam
  • 3-4 sudu makan tepung gandum (tambah 1 @ 2 sudu lagi jika anda rasa adunan agak lembik)
CARA-CARANYA
  1. Rebus kacang hijau sehingga betul-betul empuk. Kemudian masukkan gula melaka, garam. Rasa tahap kemanisan yang dihendaki semasa memasukkan gula putih.
  2. Bila agak kering, masukkan 3 sudu tepung dahulu kemudian tambah jika rasa adunan agak lembik. Angkat dan sejukkan. Canai atas dulang dan terapkan acuan bulat atau bulat2 ditapak tangan anda dan leperkan atau buat bulat2....ikut suka.

Bancuhan tepung goreng yang mak saya selalu buat adalah mengunakan tepung beras semata-mata dan sedikit bancuhan air kapur.

Thursday, December 10, 2009

Kek Karot

Kek Karot
Bahan-Bahan

Bahan A

4 biji kuning telur
1 ½ cawan minyak jagung atau minyak sayuran
200 gm karot yang telah disagat kasar
140 gm gula perang
Bahan B (di ayak bersama)
250gm tepung kek atau tepung superfine
1 tsp baking soda2 tsb mixed spices atau cinnamon powder (saya kurangkan kepada ½ tsb saja sbb tak suka bau rempah tersebut)
1 tsp garam

Bahan C
4 biji telur putih
½ tsp krim tartar (tak de pun tak pe)
50gm fine granulated sugar
100gm chopped walnut (tak perlu dibakar terlebih dahulu) atau 100gm buah-buahan campuran atau kedua-dua sekali. Ikut suka.
(untuk kali ini saya guna kacang pecan sbb walnut tak de. Pecan memang mahal tapi sedap)

Cara-caranya
1. Dalam mangkuk pengadun yang besar, masukkan bahan A. Mula-mula pukul telur sedikit dan kemudian masukkan minyak, gula, carrot dan kacau rata. Ketepikan
2. Masukkan Bahan B dalam adunan tersebut dan kacau rata.

3. Dalam bekas lain, masukkan tartar dalam telur putih dan kemudian pukul selama 5 minit kemudian masukkan gula. Guna high speed pukul lagi selama 15 minit sehingga sehingga telur putih menjadi kaku dan bila disentuh ia akan bertanduk.

4. Masukkan adunan tepung tadi kedalam adunan telur putih. Masukkan sedikit demi sedikit dan kacau rata.

5. Akhir sekali tabur walnut/pecan diatasnya atau kalau guna buah-buahan campuran masukkan terus dalam adunan. Ambil secubit tepung (sedikit tepung dari bahan B) dan gaulkan dengan buah-buahan tadi sebelum masukkan dalam adunan supaya ia tidak mendap dibahagian bawah kek.
5. bakar 45 minit pada 180 c atau sehingga masak . Ikut oven masing-masing.


Inilah hasilnya. Buah-buahan kering yang hanya tinggal sedikit dimasukkan dalam kek. Yang paling laku adalah kacang pecan tu....siap kena korek dek budak2 bila dihidangkan kek ini. Kalau ada hendak masukkan kacang pecan/walnut dalam adunan pun boleh jugak. Sukahati.



Nota:-

- Pastikan telur putih tadi dipisahkan dengan telur kuning berhati-hati supaya tak tercampur kuning telur. Pastikan juga bekas anda kering. Telur putih tidak akan 'stiff 'kalau anda tidak berhati-hati.

- Nak tahu kek dah masak ke tidak. tekan permukaan kek dan dia naik sendiri so kek tu dah masaklah.

KEK LAPIS NUTELLA

Resepi kek lapis nutella nie saya ambik dari blog brother Rozzan (http://rozzan.blogspot.com) Memang sedap...tak rugi kalau nak mencuba. Budak-budak paling suka makan dan tak terlalu manis. Yang paling penting tak rasa muak.



Inilah akibatnya bila lepas bakar terus terlangkupkan atas dulang, terkeluar lapisan kulit atas kek...jadi hodoh terus. Sebenarnya inilah first time nak cuba buat kek lapis so tak sabar nak tengok hasilnya. Memang tak pandai nak melapis.....ada yang tebal, ada yang terlalu nipis.



Kek lapis yang saya buat jadi nipis sebab salah loyang. Saya guna 9 x 9 x 4. Jadi kerat 2, dan tindihkan dua kerat sebelum ambil gambar....baru nampak lawa sikit. Tak potong kecil2 sbb nak masuk dalam bekas untuk bawak balik kampung. Wp tak cantik macam bro Rozzan buat tapi resepi nie memang best.

Resepi ini saya copy and paste saja dari blog Rozzan. So anda boleh melawat blog beliau untuk melihat banyak resepi kek lapis yang lain atau ke blog Mat Gebu yang juga pernah cuba buat kek lapis ini.


KEK LAPIS NUTELLA

Bahan-Bahan
500 gm mentega
180 gm gula
1 sudu teh ovellette

10 biji telur (saiz besar)
1 tin (397gm) susu pekat manis

260 gm tepong Hong Kong
100 gm horlicks
220 gm Nutella

180 – 200gm Nutella untuk di bubuh pada lapisan kek

Cara:

1) Pukul mentega, gula dan ovalette sehingga kembang (kira-kira 10 minit).

2) Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil terus pukul (kira-kira 7-8 minit)

3) Perlahankan speed mixer, bubuh susu pekat manis dan terus pukul.

4) Seterusnya, kurangkan kelajuan mixer hingga ke paras paling perlahan (rendah) lalu masukkan tepung HK dan horlicks sedikit demi sedikit. Pukul hingga sebati dan rata.

5) Bahagikan adunan kpd 2 bahagian. Satu bahagian dibiarkan plain. Yg satu lagi dibubuh Nutella dan dikacau rata.

6) Bakarlah selapis selapis. Pada setiap lapisan cokelat, bubuh lagi Nutella (dgn menggunakan sudu, biarkan ia jatuh sedikit-sedikit di atas lapisan kek.

Friday, December 4, 2009

Hari Raya Korban 2009

Masakan yang simple yang kami buat ketika jamuan hari raya korban di Tahfiz. Selepas proses menyembelih lembu habis dilakukan maka lembu2 tersebut di bawa ke khemah untuk proses melapah beramai-ramai. Seorang pelajar membawa 2 ketul hati lembu yang masih fresh dan masih hangat lagi ke dapur untuk dimasak. Inilah hati lembu goreng kunyit yang berada didalam kuali.



Setakat goreng kunyit semua orang tahukan so tak perlulah beritahu lagi bahan-bahannya. Cuma beberapa tip yang saya dapat masa masak nie. Tip dari mak. Hati lembu dipotong nipis akan digaul rata dengan garam dan kunyit. Sedikit minyak dipanaskan dan goreng hati tersebut dengan api sederhana sehingga kering air. Jangan tambah air semasa mengoreng, air akan keluar semasa mengoreng dan biar air ini betul-betul kering sehingga tinggal minyak yang dimasukkan pada awal tadi.

Selepas itu angkat hati tersebut. menggunakan kuali yang sama, masukkan sedikit minyak dan tumislah bawang putih, halia muda, bawang besar, lada besar. Bila sedah naik bau, baru masukkan kembali hati tadi. Gaul sebati dan masa ini masukkan bahan perisa yang anda gemari. Aku hanya masukkan sedikit kicap manis.

Ini pula adalah singgang daging. Daging yang masih baru dimasak singgang memang sedap. Dimakan pula dengan budu. Hidangan simple ini dimakan selepas semua penghuni dan tetamu jemputan pulang dari sembahyang jumaat.



Niat dihati hendak memasukkan gambar-gambar semasa korban dijalankan tetapi server nie buat hal. Untuk download 2 gambar diatas memakan masa selama 2 jam. Memang menguji kesabaran betul bila mengunakan Celcom Broadband RM68 sebulan nie.

Saturday, November 21, 2009

Sabtu 21/11/2009

Hari ini, aku tak berapa sihat. Bangun pagi tadi, kepala terasa sangat berat dan badan pulak panas. Tak jadi pergi gym dan terus baring semula. Jam 11 pagi, aku hanya bangun untuk minum susu dan kemudian baring semula. Nak berjalan pun rasa lemah sangat.

Petang nie, aku kena pergi jugak ke Klinik sbb esok dah janji dengan kawan nak pergi ke kenduri Liza. Tekak rasa nak makan sangat nasi lemak ayam rempah kat pasar malam FAM. Sebelum ke Klinik singgah sekejap kat pasar malam FAM sbb risau nanti hujan. Tapi hampa wp dah jam 5.40 tapi orang yg jual nasi lemak belum datang lagi so patah balik ke kereta dan bercadang untuk pergi Klinik dulu tapi belum sempat sampai, hujan turun selebat-lebatnya. Dijalan keluar pasar malam ada orang jual Soto so aku beli Mihun Soto Special harga RM4.50. Apa yg specialnya....specialnya adalah satu paha ayam kampung dimasukkan dalam soto...itu je. Sedap?...mmmmm mihun keras dan dalam kategori "bolehlah". Kempunan betul nak makan nasi lemak pasar malam FAM tu.



Aku juga beli kuih meneram/peneram.Sebanyak ini berharga RM2.

Friday, November 20, 2009

Salad Buah-Buahan



Salad buah-buahan aku sediakan selepas balik daripada gym sebentar tadi. Hidangan yang paling senang dan menyihatkan.




Salad Buah-buahan

Sebiji epal merah - dipotong dadu
anggur
buah-buahan lain yang anda sukai
1 bekas Yoghurt berperisa buah

Cara-caranya

1. Campurkan semua buah yang telah dipotong kecil dan tuangkan yogurt di atasnya.

2. Hidangkan



p/s Salina, Inilah gambar guna kamera baru.

Tuesday, November 17, 2009

Kuih Ketayap

Hari cuti sabtu lepas, aku bercadang nak buat kuih koci sbb lebihan inti kelapa masa buat roti tu masih banyak lagi kat peti. Lepas balik gym, pergi ke tesco cari daun pisang...malang sungguh daun pisang tak ada...so tunggu pasar malam kat stadium FAM malam nie.

Hujan lebat sangat petang tu so cancell nak pergi pasar malam.....jadi esoknya buatlah ketayap. Tak jadi nak buat kuih koci. Kuih ketayap nie saja buat warna merah sbb inti kelapa tu putih. So inilah ketayap sarapan pagi Ahad.





Kuih nie mudah je nak buat. So inilah resepinya...

Kuih Gulung

BAHAN-BAHANNYA

Bahan Kulit [batter]

1 cawan tepung gandum
1 cawan air jus pandan
[mesinkan 5 helai daun pandan + 1 cawan air dan tapiskan]
1/2 cawan santan/susu segar
1 biji telur
beberapa titik pewarna hijau
secubit garam

Bahan inti:
150 gm gula merah
3 s/b gula biasa
½ biji kelapa parut muda
1/2 cwn air
1 sudu makan tepung gandum

Cara:
1. Untuk inti, masukkan semua bahan inti ke dalam periuk kecuali tepung gandum.
2. Kemudian masak di atas api yang sederhana dan kacau agar sebati dan bila dah kering airnya masukkan tepung gandum tadi. Angkat dan ketepikan.
3. Untuk kulitnya, masukkan semua bahan di dalam mangkuk. Kacau sebati dan tapiskan. kalau nak senang, masukkan aje dalam blander dan terus blander so bancuhan tak berketul.
4. Panaskan non-stik pan yang telah dilengser dengan sedikit minyak.
5. Tuangkan sesenduk adunan ini dan lenggang-lenggangkan kuali tadi, supaya adunan rata dan nipis.
6. Setelah masak, angkat dan ketepikan.
7. Masukkan inti di tengah-tengahnya.
8. Kemudian lipatkan bahagian kiri dan kanan lalu gulungkan kemas-kemas.
9. Lakukan sehingga selesai dan hidangkan.

Sunday, November 8, 2009

Sweet Buns

Dalam tahun 2005, aku masuk kelas "hand on" untuk cara-cara membuat roti. Aku hanya berpeluang praktis dalam kelas sahaja. lepas tu resepi tersebut simpan dalam fail. Hari nie sbb nak test oven Fagor nie, aku buat roti....ilmu yg aku tinggalkan 4 tahun yg lepas.

Hasilnya, masih keliru nak adjust celsius. Dalam katalog tulis untuk roti 200C, bila pasang 200C, belum 5 minit...roti dah perang...tiba2 pulak oven terpadam...ada signal masalah fuis....hampir 4 minit betulkan oven barulah ia on balik. Memang menguji kesabaran betul. Tukar kepanasan kepada 150C tapi bahagian bawah roti jadi putih....memang sakit hati nak serasi dengan oven nie. Kesilapan aku sbb pasang fuis tak betul...waranty 3 bulan sahaja so kena check lagi lepas pasang balik fuis.

Masa kelas hand on tu, chef ajar 3 cara untuk buat sweet bun

1. Sponge Method
2. Straight dough method
3. Boiled Dough Bread - sesuai untuk roti sandwich/roti putih

Oleh kerana lepas balik gym, jam dah pukul 12 so aku decide untuk buat sweet bun guna straight dough method.

SWEET BUN (STRAIGHT DOUGH METHOD)

BAHAN-BAHANNYA

500gm tepung roti/high protein flour
75gm gula
1 biji telur
5gm garam
10gm yis/mauripan
45gm susu pekat
5gm soft Pro - Kalau tak ade, tak payah bubuh pun takpe bukan nak buat business
220ml air sejuk/air ais
50gm butter/shortening

CARA-CARANYA

1. Masukkan semua bahan kering pastikan garam dan yis tidak tercampur.

2. Gaul sebentar kemudian barulah masukkan bahanlain seperti telur, susu pekat, air dan butter. Pukul dengan doh hook selama 12 minit.

3. Biarkan doh rehat selama 30 minit.

4. Buat ketulan kecil seberat 60gm setiap satu. Untuk business, 90gm.

5. Masukkan inti kesukaan anda dan biarkan doh naik dua kali ganda (lebih kurang 45-60 minit)

6. Sapukan bahagian atas dengan telur (2 biji telur + sedikit air)

7. Bakar dengan suhu 180C selama 15 minit. sapukan dengan sedikit butter selepas dibakar supaya nampak kilat.




Sweet Bun bulat berinti kelapa, sweet bun berkelopak berinti kacang merah



Sweet Bun berinti kelapa



Sweet Bun sosej gulung

Buat doh memanjang, tekan hujung doh dan nipiskan dan letakkan dihujung sosej... pusing doh sekeliling sosej hingga habis.



Sweet bun berinti kacang merah



Sweet bun gaya sanggul berinti kacang merah

Monday, November 2, 2009

Ikan Siakap Kukus



Ini adalah resepi yang dicuba dari buku masakan Hanieliza. Masa ada jualan buku kat Kelana Jaya tempoh hari, aku telah membeli 5 buku aneka masakan Hanieliza dengan harga RM4.40 setiap satu. Masih banyak koleksi buku beliau yang tidak diperolehi lagi. Buku masakan beliau amat laku....hari terakhir tempoh pameran buku aku pergi sekali lagi dan tengok hanya ada 2 buah buku sahaja yang tinggal. Tahniah Puan Hanieliza. Masa aku tengah pilih buku beliau ada seorang perempuan cina turut pilih buku beliau jadi buku tersebut turut diminati oleh kaum lain. kenapa buku ini berbeza dengan buku-buku masakan lain. pertama sekali ianya simple, bahan2nya mudah dan memang ada kat dapur semua orang....kita memang dah tahu resepi yang ada dalam buku ini tapi kita tak tahu sukatan yang betul so buku ini berikan sukatan yang tepat dan hasilnya jugak tidak mengecewakan.

Ini adalah hasil masakan dalam buku beliau. Aku buat malam semalam dan ratah aje ikan tersebut. Aku jarang ambik nasi dan kalau masak nasi pun selalunya masak sikit sahaja tapi kalau nak masak guna Rice cooker kenalah pakai 1 cawan beras akibatnya banyaklah nasi yang selalu kena buang sbb makan sikit saja. Sejak beli buku aneka masakan Hanieliza iaitu Senangnya memasak Nasi, aku masak nasi kukus. Hanya masukkan sedikit beras dan portion air sebanyak portion beras, kukus 30 minit....siap. Jadi nasi pun tak dibuang lagi.

Resepi dari Buku Senangnya Memasak Ikan, 23 resepi pilihan

Ikan Siakap Kukus

BAHAN-BAHANNYA

Bahan A

1 Ekor ikan siakap
sedikit garam
1 sudu besar sos nampla (sos ikan)
1/4 cawan air
3 batang serai
Daun ketumbar ataupun daun sup

Bahan B - Dihiris
3 sm halia muda-dihiris halus
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
5 ulas cili api
1 ulas cili besar


CARA-CARANYA

1 Bersihkan ikan dan sapukan garam pada seluruh ikan

2. Masukkan semua bahan-bahan diatas dalam kuali

3. Kukus 15 minit dengan api yang kuat

Nota

Sekiranya tiada sos nampla/sos ikan, gantikan dengan kicap cair

Butter kek


Inilah hasil butter kek yang dibuat mengunakan oven baru. Masih terkial-kial untuk mengadjust kepanasan oven. Kalau dalam resepi selalu kata guna 180C tapi untuk fagor oven, kena guna 150C sbb masa aku guna 180C baru 15 minit, bahagian atas kek dah bertukar menjadi keperangan so adjust balik ke 150c.

Malu nak tangkap gambar keseluruhan kek sbb bahagian atasnya dah tidak perang dengan rata ada bahagian yang gelap sbb silap letak suhu oven so lepas nie guna 150C sahaja. Inikan baru nak test oven.

Sunday, November 1, 2009

Samperit badam


Ahad, jam 5.30 petang selepas balik dari Ulu Yam singgah sebentar ke Giant untuk beli tepung kastad. Petang nie jugak nak cuba guna Oven baru yang baru dihantar pada petang jumaat lepas.

Aku guna resepi Biskut Samperit Dumai cuma tukar kepada badam sahaja

Samperit Badam

BAHAN-BAHANNYA

Bahan A

250GM Butter/ saya guna majerin Daisy sbb ada satu tin lagi tak guna
125gm Gula Ising

Bahan B

1 biji kuning telur

Bahan C

130gm corn flour
130gm tepung kastard
130gm tepung gandum

Bahan D
80gm serbuk badam

CARA-CARANYA

1. Pukul bahan A hingga sebati dan masukkan bahan B, pukul sekejap.

2. Masukkan bahan C (ayak dulu semua tepung) sedikit demi sedikit dan masukkan bahan D.

3. Rehatkan selama 15 minit sebelum dipicit dengan acuan tat

4. Bakar selama 15 minit dengan kepanasan 150 c


Result test oven baru = Biskut cantik kekuningan dan rangup. Guna majerin, rasa biskut nie kurang sikit....so lepas nie guna butter.

Fagor Oven


Jumaat, jam 12.30 kami bertiga pergi ke Fagor Warehouse Sales di Seksyen 7, Shah Alam. Tujuan asalnya hanyalah hendak survey sahaja tapi akhirnya beli juga Fagor kichen hood + stove + Oven HT-50X = RM2499.00


Rumah hanya siap akhir tahun nie tapi saya dah beli semua barang kelengkapan dapur. Dapur adalah tumpuan utama yang aku titik beratkan. Dapur yang lengkap biarpun kecil adalah impian aku. Ketika rumah pertama dulu, dapur jugaklah yg saya titikberatkan. Siap dengan kichen design dan warna cat....tapi kecewa bila saya terpaksa serahkan kunci rumah yg baru saya terima kepada pembeli baru rumah tersebut.

Untuk rumah kedua...saya akan pastikan impianku untuk memiliki dapur yang lengkap dan moden akan tercapai.

Saturday, October 10, 2009

Apam Butter

Sumber: Kelas masakan BWY

Ini satu lagi resepi apam

APAM BUTTER

BAHAN-BAHANNYA

Bahan (A) - Untuk Caramel

200gm gula pasir
200gm air
250gm butter/majerin

Cara-caranya

- Panaskan gula pasir hingga kekuningan
- Masukkan air, kacau rata dan tutup api
- Masukkan butter, kacau rata (biarkan sejuk @ suam kuku)
(sekiranya nak cepat sejuk, masukkan dalam bekas dan rendam air)

BAHAN-BAHAN LAIN

Bahan (B)

250gm gula caster
3 biji telur gred A @ 4 biji telur gred B

Bahan C

1 tin susu cair

Bahan D

300gm tepung superfine
2 tsp soda bicarbonate
(diayak bersama)

CARA-CARANYA

1. Buat caramel seperti di atas

2. Masukkan bahan B dan pukul hingga kembang ( guna kelajuan no 3)

3. Masukkan semua bahan C sedikit demi sedikit

4. Masukkan bahan D sedikit demi sedikit dan guna whisk tangan

5. Akhir sekali masukkan bahan A sedikit demi sedikit dan pukul mengunakan whisk tangan

6. Perap selama 6 jam dan kukus

NOTA

# PERAP DENGAN BEKAS YANG KEDAP UDARA

# BILA SUDAH PERAP 6 JAM, KACAU PERLAHAN DENGAN SENDUK KAYU SUPAYA BUIHNYA MENJADI SEBATI DENGAN ADUNAN

# MASUKKAN DALAM ACUAN DENGAN CARA PERLAHAN-LAHAN (GUNA SUDU)

# SEMASA PROSES PEMUTAR HENDAKLAH PUTAR PERLAHAN SUPAYA APAM NAMPAK CANTIK DAN NAIK SAMA RATA

# aCUAN PERLU SAPU MINYAK @ PANASKAN TERLEBIH DAHULU

# ISI BANCUHAN 3/4 PENUH DAN KUKUS 15 MINIT

# TUTUP PENGUKUS DENGAN KAIN MASLIN

Apam Gula Hangus

Sumber: Kelas masakan BWY


Ini ada satu lagi resepi apam yang diperolehi dari kelas tersebut.

APAM GULA HANGUS

Bahan (A)

2 cawan gula caster
2 cawan air
250gm butter
1 tin susu pekat (g00gm)

- panaskan gula hingga menjadi caramel
- Masukkan air, panaskan sehingga pekat
- Akhir sekali masukkan butter dan susu pekat - tutup api
- Sejukkan atau biarkan ia sehingga ia suam kuku sebelum digunakan

Bahan (B)

2 cawan tepung
3 tsp soda bicarbonate

- Ayak semua bahan B

Bahan (C)

10 biji telur saiz B
1 tsp esen vanilla

-Pukul bahan C sehingga kembang

CARA-CARANYA

1. Dalam mangkuk adunan, satukan bahan A & B dan tuangkan bancuhan C

2. putar hingga rata mengunakan whisk tangan

3. Alas acuan dengan kertas dan masukkan adunan

4. Kukus selama 45 minit

5. Tutup pengukus mesti dialas dengan kain atau tutup acuan dengan aluminium foil


Nota:-

- Kalau guna tray 12 x 12 x 3 - kukus 45 minit sehingga masak

- Kalau guna acuan, kukus 25 minit

- Pukul telur macam buat bahulu

Friday, October 9, 2009

Fried Vegetable with chicken

Sumber: Kelas masakan BWY

BAHAN-BAHANNYA

50gm daging ayam (bahagian dada), dipotong kecil
50gm sayuran campuran
1 tsp garlic - dicincang
1 tsp halia muda - dicincang
2 ulas cili kering dipotong-potong
20gm kacang gajus - digoreng terlebih dahulu dengan minyak yang tidak terlalu panas

Bahan Perasa:
1 tbsp sos tiram
1/2 tsp kicap cair/light soya sauce
1/2 tsp kicap pekat/ dark soya sauce
1/2 tsp gula
1/4 tsp garam
sedikit minyak bijan
3 tbsp air

Bahan pemekat:
1 tbsp air + 1/4 potato starch

CARA-CARANYA

1. Panaskan 2 tbsp minyak, masukkan halia, bawang putih dan cili kering. Masukkan daging ayam, sayuran campuran dan semua bahan perasa, kacau sebati sehingga masak. perlahankan api dan masukkan bahan pemekat.

2. Hidangkan. Cara hidangan, masukkan kedalam Yam Ring dan taburkan kacang gajus. Jika rajin, goreng soon dan hiaskan ditepi Yam Ring.

Yam Ring

Sumber: Nota Kelas Masakan di BakeWithYen

BAHAN-BAHANNYA

150gm Taro/Keladi - (seelok-eloknya keladi penang)
150gm Wheat starch - (tepung nie ada dijual di BWY)
150ml boiling water
60gm shortening
20gm margerine

Bahan Perasa :
1/2 tsp gula
1/2 tsp garam
1/2 tsp five spice powder
1/2 tsp amonia bicarbonate

CARA-CARANYA

1. Kupas kulit keladi dan potong kecil (small pieces). Masukkan dalam pengukus dan kukus selama 20 minit, sesudah itu sejat dan tumbuk lumat.

2. Masukkan wheat starch dalam mangkuk, masukkan boiling water dan kacau rata. masukkan mashed yam, bahan perasa, margerin dan shortening, gaul rata sehingga menjadi doh. Bahagikan kepada 2 bahagian dan buat dalam bentuk ring. Masukkan dalam freeser selama 30 minit.

3. Keluarkan dari freezer dan goreng secara deep-fry sehingga kekuningan. Angkat dan letakkan atas tisu masakan.

Lemon Chicken

Sumber: kelas masakan BakeWithYen

BAHAN-BAHANNYA

2 ketul paha ayam yang telah dibuang tulang

Bahan perapan
1/2 tsp garam
1 biji telur, dipukul sedikit
sedikit serbuk lada putih

Tepung rangup: (dicampurkan)
100gm tepung kek/tepung gandum
50gm potato starch
20gm tepung beras

Sos lemon : (dicampurkan)
4 tbsp jus lemon - lemon diperah
1 1/2 tbsp gula
1/4 garam
2 tbsp orange jus - guna saja jus orange sunquick botol hijau
100ml air + 1 tbsp potato starch

CARA-CARANYA

1. Basuh paha ayam dan letakkan atas tisu masakan untuk keringkan airnya. perapkan paha ayam tersebut dengan bahan perapan selama 15 minit. Ketepikan.

2. Kemudian saluttak dengan tepung ranggup. Goreng mengunakan kaedah deep-fry sehingga rangup dan berwarna perang, angkat dan sejatkan atas tisu masakan.

3. Panaskan kuali untuk sos, masukkan sos lemon dan biarkan ia mendidih dengan api yang perlahan.

4. Curahkan sos lemon tersebut kedalam pinggan hidangan. Potong paha ayam ranggup tadi kepada ketulan kecil dan letakkan atas sos lemon tadi.

4. Dihidang semasa panas

Ketam Masam Manis/Sweet & Sour Crab

Sumber: Kelas masakan BakeWithYen

BAHAN-BAHANNYA

3 ekor ketam (lebih kurang 1 kg)
1 tsp halia (chopped)
1 tsp bawang putih (chopped)
2 tsp bawang merah (chopped)
1 biji cili merah - dihiris
1 batang spring onion - dipotong
1 biji telur - dipukul sedikit

Bahan Perasa

200gm sos tomato
2 tsp sos cili
2 tbsp gula
1/2 tsp garam
1 1/2 tsp cuka
1 cawan air

Bahan pemekat

3 tbsp air + 1 tbsp potato starch (kalau tak ada gunalah tepung jagung)

CARA-CARANYA

1. Potong ketam dan basuh.

2. Campurkan semua bahan perasa dalam satu bekas.

3. Panaskan 2 tbsp minyak, masukkan halia, bawang putih, bawang merah dan cili merah. Masukkan ketam dan stir-fry. kemudian masukan bahan perasa dan kacau dengan ketam sehingga masak.

4. Masukkan bahan pemekat dan diikuti oleh telur serta spring onion, kacau dan perlahankan api.

4. Hidangkan ketika panas.

Cornflakes Crunch Cookies

Biskut ini, saya buat masa raya puasa yang lepas. Resepi ini diambil dari MYR dan pemilik resepi ini adalah kak fida. Resepi nie memang best cuma kalau anda tak suka terlalu manis maka gula tu kenalah kurangkan sedikit.


BAHAN-BAHANNYA

250g mentega - lembut (saya juga gunakan golden churn)
200g gula perang (saya kurangkan kepada 160gm bg bancuhan kedua)
2 biji kuning telur
150gm cornflakes - diramas sedikit (jangan hancur sangat)
150g tepung jagung - ayak
150g tepung naik sendiri - ayak
hirisan ceri merah/kismis/choc. chip-ikut suka anda untuk hiasan
secukup papaer cup kecil

Cara-caranya

1. Mentega, gula dikacau hingga rata dan masukkan kuning telur dan kacau rata lagi. masukkan cornflakes dan gaul lagi

2. Masukkan tepung jagung dan tepung naik sendiri sedikit-sedikit hingga habis dan sebati. Jika dapati adunan melekit, jangan ditambah tepung.

3. Sudukan sedikit adunan kedalam papercup dan bubuh hiasan pilihan. Susun di atas dulang pembakar dan bakar keperangan.

4. Sejukkan biskut dan simpan dalam bekas kedap udara.

terima kasih buat kak fida, myr sbb resepi nie memang best dan anak-anak saudara saya suka sungguh makan biskut nie.

Wednesday, October 7, 2009

Tat Nenas

Ini adalah tat nenas yang saya dah buat semasa raya puasa lepas. Tat ini sangat sedap tapi terlalu gebu.

Sumber: resepi Baya

TAT NENAS

BAHAN-BAHANNYA

1 cwn butter (jika tidak suka tat yang terlalu gebu bahagikan 1/2 cwn butter + 1/2 cwn majerin)

1 biji telur kuning

1 sudu teh esen vanilla

1 sudu besar gula

2 sudu besar tepung jagung (bumbun)

2 1/2 sudu besar tepung kastard (bumbun)

1 sudu besar susu tepung

2 1/2 cwn tepung gandum

CARA-CARANYA

1. Campurkan telur, butter dan esen - guna spatula saja.

2. Masukkan semua jenis tepung satu persatu

3. Kemudian masukkan tepung gandum dan gaul sebati.

4. lepas itu masukkan dalam acuan tat nenas dan tekan keluar. letakkan inti dan gulung.

5. Bakar selama 17-19 minit 350 F


Pau

Resepi nie, saya dapat dari MyResepi. Dua bulan yang lepas saya ada beli tepung hongkong kononnya nak buat kek lapis tapi tak jadi so tepung tu tersimpan lama sehinggalah beberapa hari lepas, saya tengok dah due expired date. Tepung nie dah lah mahal dan ia tidak boleh disimpan lama sbb sayangkan tepung nie, akupun koreklah resepi pau kat MYR dan test.

Pau mengunakan resepi ini jadi elok sangat dan gebu sama seperti yang dibeli dari kedai. Memang tak rugi mencuba jika anda ingin mencuba.






Gambar nie agak kelabu sbb ambik pakai kamera handphone tapi pau nie sebenarnya sangat putih sbb pakai tepung hongkong. Kalau anda nak pakai tepung gandum biasa atau tepung pau dalam kotak pun boleh tapi taklah seputih pakai tepung hongkong.


PAU GEBU

BAHAN-BAHANNYA (60 biji)

Bahan (A)

300gm air suam

220gm gula

18gm yis segera - mauripan

Bahan (B)

920gm tepung hongkong

80gm shortening

180gm air

1 sudu teh bread softener (kalau tak ada pun tak pe, gebu jugak. saya tak bubuh pun)

2 sudu teh baking powder/double action baking powder

2 sudu teh minyak masak


CARA-CARANYA

1. Masukkan semua bahan A dalam mangkuk. campur sehingga sebati dan biarkan selama 10 minit

2. Ayak tepung bersama baking powder kemudian campurkan semua bahan B dan campur sebati dengan bahan A. Uli dengan tangan selama 30 minit atau masukkan dalam mesin buat roti sehingga sebati dan menjadi doh.

3. Rehatkan doh selama 20 minit.

4. Bahagikan doh kepada 30gm ke 50gm ikut besar yang anda suka dan rehatkan lagi 10 minit

5. Bulatkan doh dan masukkan inti ikut suka anda samaada kacang, kaya atau kentang dll. Tutup doh dan letakkan atas kertas yang disapu dengan sedikit shortening atau plastik. Rehatkan lagi selama 40-45 minit. Proses ini penting sb jika anda terkurang tempoh rehat, pau anda tidak akan jadi licin dan jika anda terlebih rehat, pau anda akan mengerutu.

6. Kukus selama 10-15 minit sahaja. jangan terlebih kukus.


7. Jika anda hendak jadikan ia frozen, kukus 10 minit dan bila telah sejuk masukkan dalam bekas serta simpanlah dalam peti sejuk. Kukus semula bila hendak makan.


8. Jika hendak meniaga pau frozen kenalah masukkan sedikit sodium benzode (sukatan 1% drp berat adunan) untuk tahan selama 3 bulan. So saudara-saudari jika anda beli makanan frozen, sodium ini akan dimasukkan terutama jika ia boleh tahan sampai setahun...bayangkan berapa banyak sodium benzode dimasukkan. Janganlah amalkan membeli makanan yang ada bahan kimia tidak elok untuk kesihatan anda dalam jangkapanjang.



Note: Inti seelok2nya sama berat dengan doh. Contohnya jika doh anda seberat 30gm maka intinya juga harus seberat 20-30gm juga. Jika anda bubuh inti sedikit, maka akan jadi seperti pau seperti gambar diatas. Masa nak bubuh inti, rasa macam dah banyak tapi bila doh kembang maka inti itu rupanya hanya sedikit sahaja. Jika anda hendak pau sebesar pau dikedai, doh harus sebesar 50-60gm dan masukkan inti kira2 40/50gm.




Monday, September 14, 2009

Biskut Bunga Cina



Biskut ini dibuat semalam. Adik gie sangat mengemari biskut nie, tahun lepas dia tempah 2 bekas dari kawan dia tapi biskut tu keras dan langsung tak sedap.

Tahun nie aku cuba buat sendiri ikut resepi ini. Biskut bunga cina nie memang sedap cuma sakit tapak tangan sajalah sbb menekan acuan dan resepi nie memang best.


Sumber: Nor_57@myresepi.com

BAHAN-BAHANNYA

100gm mentega ( aku guna anchor butter)
90gm gula caster/halus (just nice, tak manis sangat)
1 biji telur (A)
2 cawan tepung jagung
1 cawan tepung ubi
ceri merah untuk hiasan (potong kecil2)

CARA-CARANYA

1. Pukul mentega dengan gula hingga putih/gebu. Masukkan telur dan pukul lagi sehingga kembang.

2. Masukkan kedua-dua tepung sikit demi sedikit sehingga habis.

3. Ambil acuan bunga dahlia dan masukkan adunan kedalamnya dan picit direct atas loyang yang dah digriskan.

4. Satu acuan dapat 2 kuntum bunga cina, Jika rasa adunan keras dan susah nak tekan, ambil sedikit mentega dan campurkan dalam adunan sehingga sebati.

5. picit sehingga habis dan letakkan ceri diatasnya

6. Bakar pada kepanasan 175 c (bergantung pada oveb anda) dan bakar dalam 15 minit bergantung pada saiz bunga anda. Kalau saiz yang anda tekan kecil, tukar pada 10-12 minit saja. pastikan jangan sampai kuning sbb biskut nie akan berubah menjadi putih dan kalau kuning dah tak cantik.

7. Bila dah masak keluarkan dari oven dan jangan terus usik sbb ia akan berderai. Biarkan seketika dan alihkan ke redai supaya ia cepat sejuk.

8. Kalau lepas bakar biskut nie dan kelopak bunga tu collapse/penyek tandanya doh anda dah terlembek, so tambahkan tepung jagung sikit.

Monday, September 7, 2009

Anchor Butter







Aku selalu guna jenama Anchor untuk buat biskut. Jenama Golden Churn aku guna untuk buat tat Gulung sebab harganya agak mahal lebih kurang RM7.99 seketul. Jumat lepas aku telah pergi ke Giant dan beli 5 ketul butter Anchor dan 2 ketul Golden Churn. Aku beli Butter Anchor dengan harga RM5.99 seketul so habis RM30. Pagi tadi aku pergi ke Bake With Yen sbb baru teringat nak beli kacang gajus. WP cuti, Bakewithyen Puchong penuh dengan orang, sampai nak bergerakpun berlaga dengan orang.

Di BakewithYen harga Anchor hanyalah RM4.30 untuk salted butter dan RM4.10 untuk unsalted butter. macammana aku boleh terlupa pasal nie sedangkan tahun lepas aku memang beli kat sini semua bahan biskut. Untuk butter saja aku dah rugi RM1.69 X 5 = RM8.45. Aku boleh dapat lagi 2 ketul butter anchor kalau beli diBakewithyen. Bezanya kan.

Tahun depan kena ingatlah jangan beli lagi butter di Giant.

Roti gulung sardin


Ini jaudah untuk berbuka hari. Tiba dari Pahang jam 3.30 petang tadi. Ada roti sandwich dan 1 tin sardin, so aku decide nak buat Roti Gulung saja. Malas nak start kereta gi pasar ramadhan. Call mak kat umah, dia kata dia buat Kuih Talam dan cucur udang sebagai jaudah berbuka hari nie untuk adik2 kat umah sbb esok dia dah nak bertolak ke Mekah.
Roti Gulung Sardin
BAHAN-BAHANNYA
Roti sandwich gardenia 5-6 keping
2 ketul sardin
2 biji bawang merah-dimayang halus
2 ulas cili padi-di potong halus
1/2 sm jus limau kasturi
garam secukup rasa
gula sedikit
2 biji telur-dipukul sedikit
bread crumbs
2 sm tepung gandum + sedikit air
CARA-CARANYA
1. Satukan sardin, bawang, cili, garam, gula, jus sehingga sebati dan secukup rasa.
2. Potong sedikit bahagian tepi roti sandwich dan letakkan inti sardin dan gulung.
3. Letakkan sedikit tepung gandum yg dibancuh dihujung roti, gulung roti.
4. Celupkan dalam telur dan salut dengan bread crumb
5. Goreng.


Friday, September 4, 2009

celoteh 2

Ok aku dah masukkan semua resepi biskut yang diperolehi dari kelas masakan yang aku hadiri 2/3 tahun yang lepas. Sebenarnya aku dapat hadiri 2 kelas saje untuk biskut tapi banyak kelas untuk roti dan kek. Resepi biskut ini telah di buat dihadapan kelas oleh pengajar dan aku dapatlah rasa sample biskut tu tapi terus terang selepas tu resepi nie dok dalam fail tak keluar-keluar.

letih je gi belajar tapi tak pernah praktis, tahun nie disebabkan aku kena jaga anak-anak saudara kat Tganu selama 2 minggu so aku ada masa nak try resepi biskut nie dan resepi biskut lain dalam internet, nanti bila dah cuba aku masukkan gambarnya dalam blog nie. Adik aku baru pindah kerumah barunya dan ada kabinet dapur yang cantik, untuk menyesuaikan dengan kabinet tu dia belilah oven baru. Ustazah tu tak pernah lagi baking biskut kat oven baru dia so ada peluang nak try test dulu.

Sebenarnya risau jugak sebab selama nie tak pernah nak kena bangun awal pagi sediakan jaudah untuk sahur dan kemudian kejutkan budak2 kecil tu untuk bersahur. kalau hidup bujang senang je, bangun jam 5.10minit pastu ambil mangkuk, masukkan oat 7 sudu, madu satu sudu, potong kurma 5 biji, masukkan kekacang dan last sekali susu. kacau dan terus makan. Tak sampai 15 minit dah siap bersahur. Anak saudara yg sulong darjah 4, kedua darjah 2, ketiga tadika dan keempat umur 3 tahun serta baby umur setahun. Yang sulung dan kedua dah puasa penuh...yang ketiga tu puasa setakat jam 4.30 petang, dia bukak puasa bila dengar azan asar.

Bila hendak menyambut raya tahun nie lagilah sedih sbb mak, bapak saudara, adik dan suaminya pun ikut gi umrah. Aku tak pernah buat ketupat sendiri, kalau setakat balut ketupat tu oklah. Selalunya mak yang sediakan bahan-bahannya pastu dia sediakan adunannya, bila dah siap dia tolak besen kat aku untuk balutkan ketupat tu. Kalau rendang pulak tugas aku cuma sediakan bahan-bahan mentahnya dan mak jugak yang masak. tahun nie padan muka semua kena buat sendiri...kalau tak buat kesian kat budak-budak kecik tu nak beraya juga mereka. Lagipun adik-adik aku yang lain semua berkumpul kat rumah dikampung tahun nie wp tanpa Emak. Pertama kali dalam hidup kami berlima beraya tanpa mak disisi dan pertama kali bagi cucu-cucu mak yang lima tu beraya tanpa nenek dia dan tanpa ibubapa dia sekali. jenuhlah nanti aku nak kena pujuk bila 2 anak adik aku yang kecil tu melalak nak emak dia.

Thursday, September 3, 2009

Singgang Ikan Aye/Tongkol



Menu berbuka puasa aku pada hari nie. Masak singgang, goreng sawi dan buat tauhu bakar. Balik kerja jam 5 tadi, singgah kat Bintang beli ikan dan asam jawa. Sepanjang bulan puasa nie aku tak pergi lagi jenguk2 pasar ramadhan. Wp banyak belanja terpaksa dikeluarkan sbb kena beli semua barang dapur tapi aku rasa berbaloi. inilah masanya nak praktis ilmu memasak. Emak pernah perli aku bila dia tahu dalam setahun aku hanya memasak dalam bulan puasa aje. Masa dia datang rumah aku, dia tak jumpa beras dan gula. 2 - 3 tahun yang lepas rajinlah ikut kelas memasak tapi bila badan naik....aku mula diet dan aktif kat gym terus tak berasap dapur tu.


Aku mula tahu masak singgang bila adik aku Sabariah kawin dengan orang tganu. Dia kena belajar masak singgang sbb itu lauk wajib suami dia.


Singgang Ikan Tongkol

Bahan-bahannya
1 ekor ikan aye/tongkol
3-4 ulas bawang putih dimayang
2 cm Lengkuas - hiris nipis sekeping-sekeping
2 cm kunyit hidup
4-5 keping asam keping
4 cawan air
garam
cilipadi
Cara-caranya
1. Masak semua bahan dalam periuk dan reneh dengan api sederhana.
2. Bila mendidih, masukkan garam dan masukkan cili padi
3. hidangkan
Masak singgang nie, makin lama dipanaskan makin sedap. Aku buat dengan mengunakan 4 ketul ikan, alamatnya 2-3 hari baru nak habis sbb aku berbuka baru makan nasi tapi bila bersahur aku hanya makan oat. Itulah yang malas nak masak sbb makan sorang tapi bila bulan puasa kenalah masak jugak. Aku agak cerewet pasai makanan so kalau beli jaudah kat pasar ramadhan ada je yang tak kena tambahan pulak mahal sangat.

Drizzled Cornflakes Crunchy

Sumber: Nota kelas masakan chef Asma di Bakewithyen

BAHAN-BAHAN

Bahan A

150gm butter
100gm gula castor

Bahan B

1 tsp esen vanilla
1/4 cup air sejuk

Bahan C

170gm tepung gandum
1/8 tsp cinnamon powder
1 tsp bicarbonate of soda
(ayak semuanya)

Bahan D

80gm cornflakes - dikisar
30gm chocolate rice

CARA-CARANYA

1. Bahan A diputar sehingga kembang dan masukkan bahan B
2. Ayak bahan C dan digaul bersama bahan D
3. campurkan kedalam bancuhan A. Adun sehingga sebati
4. Ambil 1/2tbsp dan bulatkan. letakkan atas loyang dan tekan dengan garpu
5. Bakar sehingga masak dan sejukkan
6. Apabila sejuk. hiaskan dengan white chocolate

Hiasan : White chocolate dipipping halus

Wednesday, September 2, 2009

Almond London

Sumber: Nota kelas masakan BakeWithyen

Bahan-bahannya

(A)

210gm butter (anchor)
210gm majerin
1/2 tsp esen vanilla
160gm gula aising

(B)

550gm tepung gandum @red rose flour
100gm corn flour
40gm potato flour
1/4 tsp baking powder
4 tbsp susu tepung

(C)

Whole almond secukupnya - bakar terlebih dahulu

Hiasan: Almond nip, white dan dark chocolate, papercup

Cara-caranya

1. Putar bahan A sehingga kembang dan ayak bahan B
2. Masukkan bahan B kedalam adunan A dan uli sehingga menjadi doh
3. Rehatkan adunan selama 15minit dan ambil adunan dalam anggaran 1/2 tsp, masukkan
almond dan bulatkan
4. Bakar sehingga masak dan sejukkan
5. Hiaskan dengan dark chocolate dan ditaburkan dengan almond nip atau dihiasi dengan white chocolate.


Nota: Saya dah buat biskut almond london guna resepi nie masa raya puasa lepas, hasilnya memang sedap dan ranggup sangat. Ramai puji sbb ranggup dan anak2 saudara asyik berulang je makan sampai tak sempat nak dihidangkan pada tetamu. So memang tak rugi anda cuba resepi ini. Gambar tak sempat nak ambik sbb sibuk sangat.

Tuesday, September 1, 2009

Mee Rebus Ala Terengganu


Hari nie perut meragam saje. Dari pagi tak selesa betul.....habis kerja terfikir nak buat mee rebus terengganu. Resepi nie Sabariah yang berikan....mee rebus yang dia sediakan memang sedap.

Bahan-bahannya

2 ketul ayam - dipotong kecil

1/2 - 1 inci halia- hari nie saya lebihkan halia untuk buang angin

1 sudu makan lada hitam - ditumbuk

6-8 ulas bawang putih-dihiris

2 ulas bawang merah - dihiris

4 batang sawi

1/2 batang karot

1 biji tomato - dipotong 6

3-4 ketul fish ball

2-3 ketul fish cake

Udang @ sotong - ikut suka kalau nak masuk

taugeh - kalau suka

telur - kalau suka

Mee kuning

air secukupnya

garam secukup rasa


Cili padi

seulas bawang putih

garam

kicap manis


Cara-caranya

1. Tumis bawang merah dan bawang putih sehinggan naik bau. Masukkan air, lada hitam, halia, ayam dan renehkan dengan api yang sederhana.

2. Masukkan fish ball, fish cake, karot, tomato, udang, sotong dan sawi. Kalau suka pecahkan telur dalam kuah tapi dah terlalu banyak bahan so saya tak bubuh. Jangan lupa garam. Kalau anda suka bubuhlah 1/2 kiub ayam.

3. Basuh mee dan celur dengan air panas sebentar. Tapis dan hidangkan

4. Tumbuk cili padi + garam + lada putih hingga lumat. Masukkan kicap manis.

5. Hidangkan bersama taugeh yg telah dicelur.
======================
Saya suka mee rebus nie bila perut meragam. Lada hitam yg banyak, bawang putih dan halia direneh perlahan-lahan menghasilkan kuah yang menyegarkan. Bagus untuk buang angin.

Monday, August 31, 2009

Getas-getas


Bahan-bahannya (20 keping)


250gm tepung pulut

150gm kelapa (kalau dapat kelapa yg agak muda lagi bagus)

sedikit garam

130-140ml air


1/2 cawan gula

1/2 cwn air

Cara-caranya

1. Satukan tepung pulut dengan kelapa. Gaul rata dan masukkan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga ia boleh dibentuk. Jangan terus masuk semua air tu serentak...agak2lah ye, bila dah boleh dibentuk berhenti menambah air.
2. Bentukkan mengikut kreativiti anda. Adunan boleh dicanai dan dipotong menyerong atau dibuat bulat-bulat dan leperkan.

3. Goreng kepingan kuih itu dengan api yang perlahan dan sentiasalah alih-alihkan ia supaya kuih tidak mengelembung. Goreng sehingga kekuningan dan angkat.
4. Dalam kuali lain, masukkan gula dan air. Guna api sederhana dan masak sehingga ia likat. Tutup api dan masukkan kuih tersebut dan sentiasa kacau sehingga berbunga gula. Kalau anda tak suka manis sangat boleh kurangkan gula tersebut.
---------------------------
Ini adalah kuih kegemaran saya. Mak selalu buat masa saya kecil2 dulu. Dah lama tak jumpa kuih nie. Bila kursus kat Quality Hotel, Shah Alam barulah jumpa kembali semasa sarapan pagi. Lega dapat buat sendiri wp tak sama macam mak buat.

Asam Pedas Ikan



Jaudah berbuka puasa hari nie. Memang berbaloi untuk anda cuba. Dulu aku ada housemate bernama Zarina Abdullah orang Melaka. Tiap2 minggu balik melaka dan tiap2 minggulah aku dapat bekalan asam pedas yang dibuat oleh Mak Zarina. Sedapnya....pekat dan merah kuah ladanya begitu memikat...cukup lengkap dengan rasa masamnya emmmm....memang best dan aku masih gagal mendapat rasa asam pedas sehebat itu wp banyak kali mencuba untuk buat sendiri. Sekarang tiada lagi asam pedas emak Zarina bila Zarina pindah bertugas di cawangan Muar.

Bahan-bahannya

Bahan Kisar

3 biji bawang merah
8-10 biji cili kering (kurangkan cili jika rasa terlalu pedas)
1/2 inci halia
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
1/4 sudu teh lada hitam
1/2 inci kunyit hidup
Bahan Tumis
2 ulas bawang putih
1/2 bawang besar dihiris
1/4 st biji sawi
1/4 st halba
2 tangkai daun kari

Air asam jawa secukupnya
air secukupnya
1 biji tomato-dipotong
5 biji kacang bendi
1 batang serai-diketuk
1/2 bunga kantan
minyak masak
garam dan gula (jika suka)

Cara-caranya

1. Tumis bahan tumis dan masukkan bahan yang dikisar dan garam. Masak sehingga pecah minyak dan kemudian masukkan air, air asam jawa dan serai.

2. Apabila mendidih masukkan pula ikan. Biarkan sebentar dan kemudian masukkan bendi, bunga kantan dan tomato.

Moist Chocolate Cup Cake

Bahan-Bahannya

110 gm tepung kek atau tepung superfine
25 gm serbuk koko/coklat
1/2 tsp baking powder (heap)
1/2 tsp baking soda (level)
1/2 tsp garam (level)
semua diayak sekali

100 gm butter
4 biji telur
170 gm fine granulated sugar
1 tsp esen vanilla
125 ml air sejuk

Cara-caranya

1. Dalam bekas pengadun besar, pukul butter dalam 1 minit dan kemudian masukkan gula, esen vanilla dan pukul lagi dengan kelajuan medium speed (guna K) selama 15 minit dan kemudian masukkan telur sebiji demi sebiji.

2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan air sejuk sehingga habis.

3. Masukkan adunan dalam acuan cup cake ( 12 muffin pan) atau lebih kurang 35gm dan bakar pada 180 c selama 25 minit. Panaskan oven terlebih dahulu sebelum adunan dibancuh.

Bahan Hiasannya

Butter Icing
250 gm butter
450 gm gula icing

1. Pukul butter selama 10 minit dan kemudian masukkan gula icing dan pukul lagi sehingga putih. Masukkan warna kegemaran anda dan hiaslah kek anda.

Ingat ayak dulu gula icing sebelum hendak dimasukkan dalam butter.

Chocolate Ganache
500gm cooking chocolate
250gm double cream

1. Cairkan chocolate mengunakan kaedah double boil. Kemudian masukkan double cream.

Carrot Cup Cake

Sumber: Kelas masakan Bake With Yen, puchong pada 4/4/09. Gambar diambil dari kelas tersebut




Bahan-Bahan

Bahan A

4 biji kuning telur
1 ½ cawan minyak jagung atau minyak sayuran
200 gm karot yang telah disagat kasar
140 gm gula perang

Bahan B (di ayak bersama)
250gm tepung kek atau tepung superfine
1 tsb baking soda
2 tsb mixed spices atau cinnamon powder (B kurangkan kepada ½ tsb saja sbb tak suka
bau rempah tersebut)
1 tsp garam

Bahan C




4 biji telur putih
½ krim tartar (tak de pun tak pe)
50gm fine granulated sugar (resepi asal 100gm)

100gm chopped walnut (tak perlu dibakar terlebih dahulu) atau 100gm buah-buahan campuran atau kedua-dua sekali. Ikut suka.

Cara-caranya

1. Dalam mangkuk pengadun yang besar, masukkan bahan A. Mula-mula pukul telur sedikit dan kemudian masukkan minyak, gula, carrot dan kacau rata. Ketepikan

2. Masukkan Bahan B dalam adunan tersebut dan kacau rata.

3. Dalam bekas lain, masukkan tartar dalam telur putih dan kemudian pukul selama 5 minit kemudian masukkan gula. Guna high speed pukul lagi selama 15 minit sehingga sehingga telur putih menjadi kaku dan bila disentuh ia akan bertanduk.

4. Masukkan adunan tepung tadi kedalam adunan telur putih. Masukkan sedikit demi sedikit dan kacau rata.


5. Akhir sekali tabur walnut diatasnya atau kalau guna buah-buahan campuran masukkan terus dalam adunan. Ambil secubit tepung (sedikit tepung dari bahan B) dan gaulkan dengan buah-buahan tadi sebelum masukkan dalam adunan supaya ia tidak mendap dibahagian bawah kek.

5. Masukkan 45gm atau 1 scoop ais krim dalam acuan cup cake dan baker 25 minit pada 180 c





Nota:-

- Resepi carrot cake nie telah dicuba beberapa kali. Sukatan gula telah dikurangkan dari resepi asal. Ini resepi terbaik yang pernah dicuba dan beberapa kawan telah meminta resepi ini.

- Pastikan telur putih tadi dipisahkan dengan telur kuning berhati-hati supaya tak tercampur kuning telur. Pastikan juga bekas anda kering. Telur putih tidak akan 'stiff 'kalau anda tidak berhati-hati.


- Nak tahu kek dah masak ke tidak. tekan permukaan kek dan dia naik sendiri so kek tu dah masaklah.





Cream Cheese Frosting



Bahan-Bahannya


120gm Butter
120 gm gula icing
250gm cream cheese



1. Campurkan butter dengan gula icing dan pukul selama 10 minit dengan kelajuan medium speed. Lepas tu masukkan cream cheese dan pukul sehingga ringan dan gebu (light and fluffy)


2. Campurkan dengan warna kesukaan anda dan hiaslah ikut kreativiti anda. kemahiran nie anda kena masuk kelas sendiri.





Tips


Gula icing kena ayak sebelum hendak dimasukkan kedalam mangkuk. Jangan ayak kemudian simpan. Untuk bahan kering kena rajin ayak sebelum masuk dalam adunan.




Mocha Cup Cake


Sumber: Kelas Masakan Bake With Yen, 4/4/09 jam 10 pagi. Gambar diambil dari kelas tersebut


Bahan-Bahan


250gm Butter

230gm Tepung Naik Sendiri

10gm serbuk coklat

2 sb coffee segera + 2 sb air panas

4 biji telur

3 sb susu pekat manis

200gm gula kastor

2 biji kuning telur


Cara-Caranya


1. Pukul Butter, telur, tepung naik sendiri dan serbuk coklat sehingga kembang. Pukul dalam 15 minit dengan kelajuan sederhana.


2. Masukkan telur satu persatu dan masukkan campuran coffee yang telah sejuk serta susu. Pukul lagi selama 5-8 minit.


3. Masukkan dalam acuan cup cake. Satu skop ais krim sahaja atau lebih kurang 35gm untuk satu adunan kecil.


4. Bakar 18 minit dengan suhu 180 c. Panaskan oven terlebih dahulu sebelum adunan dibancuh.



Pengenalan

Selepas membuka fail lama yang tersimpan resepi-resepi diatas kertas A4 aku mula terfikir untuk menyimpan sahaja resepi tersebut dalam internet. Setahun sekali baru nak bukak fail nie. Itupun sebab tahun nie aku terpaksa cuti panjang untuk menjaga anak-anak saudara kerana ibubapa mereka akan pergi mengerjakan umrah selama 2 minggu puasa dan hanya kembali selepas raya tahun ini.

Kalau fail nie hilang maka hilanglah semua resepi yang kebanyakannya diperolehi dari kelas masakan yang aku hadiri 2 tahun yang lepas. Atas sebab itulah aku membuka blog ini. Selagi blog ini berfungsi maka selagi itulah resepi tersebut akan tersimpan dan yang penting ia boleh dikongsi bersama dengan yang lain.

Aku bukan tukang masak cuma pegawai yang tidak pernah memasak sbb duduk sorang dan kebetulan aku tak makan malam so dapur tu hanya untuk masak maggie sahaja. Tapi aku anak tukang masak. Anak sulong tukang masak, darah memasak ada dalam diri aku.....dari kecil aku tolong mak memasak. Bakat memasak yang ada dalam diriku memang disedari oleh mak sejak dari dulu. Kalau mak minat pada sesuatu masakan yg dibuat oleh orang lain dan beliau tidak mengetahui tentang resepi tu, beliau akan bawa balik sedikit masakan tersebut dan beri aku untuk rasa. Beliau akan tanya pendapat aku tentang bahan2 yang dimasukkan dalam resepi tu dan kemudian dia akan cuba....beberapa kali mencuba sehinggalah dapat rasa yg sama. tapi bakat itu tidak dikembangkan....cuma minat memasak tidak terus padam. Aku suka menonton cerita-cerita berkisar dunia Gourmet...rancangan2 masakan luar/dalam negeri...kejayaan chef2 serta aku mempunyai berbagai koleksi buku2 masakan chef2 terkenal. melayari internet dan mencari blog2 penulis berkaitan masakan dan resepi. Membaca cerita-cerita mereka adalah hobi aku. Selalunya hari ahad adalah hari experimen sbb isnin masakan tersebut akan dibawa ke pejabat so ada orang tolong habiskan.

Niat untuk buat komplikasi semua resepi mak hanya tinggal angan2....setahun demi setahun berlalu tapi impian tinggal impian.

Resepi dalam blog ini bukan resepi mak tapi resepi dari kelas memasak yang aku hadiri dan insyaallah aku akan masukkan beberapa tip dari mak terutama untuk resepi kuih muih tempatan kerana itu kepakaran mak. Apabila melihat sesuatu resepi aku dapat bezakan antara resepi yang betul wp tak 100% tepat berbanding dengan resepi yg merapu. So....insyaalah blog ini hanya melapurkan resepi yg diperolehi dari kelas masakan yang dah tentu betul wp bukan 100% tepat dan yang telah dicuba sahaja.