Monday, November 24, 2014

Lagi berkenaan sms scam

"saya diwajibkan menghantar pesanan kepada nombor 36556 - Macrokiosk Bhd
untuk mendapatkan password.
Saya ingat ia takkan ada kesan apa apa, cuma hanya bayar sekali sahaja. saya langsung tak tahu pasal perkara ni,

selepas saya menghantar pesanan kepada nombor tersebut,
dia caj saya berkali ganda, kerana saya tak menggunakan prepaid, saya gunakan bil. saya sudah menghantar STOP ALL ,
kalau saya dicaj lagi , boleh bagitahu saya solution untuk dia langsung tidak boleh mengecaj lagi.

Harap sis baca dan bagitahu solution,
terima kasih :)   "
 
Saya menerima komen di atas....nak terangkan dalam box komen amat limited yang boleh ditulis.
 
Untuk Saudari Nur, tolong baca tulisan saya sebelum ini. Saya ada terangkan bagaimana anda ingin membuat aduan atau report kepada SKMM bagi pemulangan wang anda semula.
 
Syarikat melakukan kesalahan jika selepas STOP ALL, mereka tidak memberhentikan langganan tersebut. Oleh itu tolong print scrin sms tersebut dan buat lapuran kepada SKMM. Pergi ke laman web SKMM dan buat aduan di situ.
 
Solution untuk dia tidak mengecaj lagi TIADA......mereka akan terus caj....kecuali anda seorang penguna yang garang. Call dan bagi amaran kepada mereka.....buat lapuran kepada SKMM. Anda pengguna.....Hak Di Tangan Anda. TOLONG BERTINDAK....jangan biarkan.
 
Cara yang kedua...selain buat aduan adalah menghadkan amaun kredit telefon anda. Sila lihat had limit kat penyata anda....jika diletakkan limit RM300 dan anda hanya guna RM80 sahaja sebulan (tanpa caj VAS nie) maka call customer centre telco anda dan hadkan kredit anda kepada RM80 sahaja. Ini untuk memudahkan anda pantau bila terdapat caj yang tidak berkenaan dikenakan kepada anda.
 
Macrokiosk adalah syarikat besar, mereka menyalahkan pihak ke 3 iaitu sub CP bila berlakunya perkara begini. Mereka menyalahkan pengguna yang kononnya melanggan tetapi tidak ingat mereka langgan. Pengguna disalahkan.
 
Syarikat ini juga adalah syarikat yang mendapat pelepasan cukai iaitu taraf perintis dan tidak perlu membayar cukai selama 10 tahun.
 
Kita....saya dan anda yang bekerja makan gaji...kena bayar cukai bagi setiap sen duit yang kita terima. Tidak boleh terlepas.....tidak boleh mengelak tapi mereka nie sudahlah mendapat untung mudah.....mencuri duit rakyat lagi.....menindas pengguna Telco....tak perlu bayar cukai satu sen pun. Duit untung berpuluh-puluh juta itu diagihkan sebagai pendapatan dividen pengarah....mereka beli kereta mewah.....rumah-rumah mewah ditengah-tengah bandar. Rakyat yang makan gaji seperti kita tidak mampu nak beli rumah sebab harga melambung naik tinggi ditengah bandar maka kita semua carilah rumah dikawasan pinggiran bandar dan terpaka berulang alik berjam-jam untuk ketempat kerja.
 
 

Thursday, October 2, 2014

Apabila dia mengeluh.....saya juga mengeluh

Hari ini dimana-mana saja di laman sosial .....rakyat Malaysia memgeluh kenaikkan harga minyak yang PASTInya akan memberi kesan kepada kenaikkan harga semua barangan keperluan dan kesan akhirnya adalah semakin tenat budget bulanan rakyat jelata. Rakyat mengeluh sehari dua....pemimpin pekakkan telinga sebab esok lusa rakyat senyaplah....dan keadaan akan kembali normal.
 
Sehari sebelum hari kenaikkan harga minyak....seorang staff perempuan kat ofis mintak tumpangkkan dia sehingga Tol Jalan Duta sebab suami dia ada kursus dan terpaksa bawak kereta. Didalam kereta kami berbual
 
Dia : Hari nie terpaksa tumpang akak...suami saya kena bawak kereta sbb ada kursus kat luar. Kereta ada satu saja....saya terpaksa bangun seawal pagi....siapkan anak2, hantar anak ke sekolah, nurseri dan kemudian hantar suami sebelum ke pejabat sebab pejabat saya yang paling jauh daripada dia
 
Saya: Anak-anak hantar nurseri bukan dulu jiran yang mengasuh?
 
Dia : Susah kak.....selalu sangat pengasuh buat perangai...saya dah siap nak pergi kerja tiba-tiba dia call cakap dia ada hal....tak boleh jaga anak...so saya kena ambik cuti segera. Selalu sangat macam tu....sampai boss pun dah marah kat saya sbb selalu EL.
 
Dia: dua anak saya hantar nurseri...kena bayar dekat RM600 sebulan....3 lagi sekolah rendah. Gaji saya bersih hanya RM2000 saja....Gaji suami saya basic RM1800 (anggaran bersih RM1600)
 
Saya menconggak kira total income bersih yang dibawa balik ke rumah RM2000 + RM1600=RM3600 sebulan
 
Dia: Rumah kena bayar bulan-bulan (RM800), kereta wira tu masih belum habis installment (RM500), nurseri 2 anak RM600, anak sekolah pakai duit  (anggaran RM400 utk 3 orang), duit Van sekolah...anak sekolah kebangsaan dan agama, minyak kereta (dahlah duduk jauh....subang bistari ke Jalan Dewan Bahasa KL ulang alik), duit belanja rumah....belanja dapur, belanja utiliti...nak bagi kat Emak dan Ayah dikampung....emak mertua kena bagi jugak....sebulan sekali kena balik jenguk emak kat kampung....kalau balik takan nak balik bonet kosong....kena isi dengan barang dapur
 
Saya hanya diam mendengar sambil kepala menconggak lagi mengira....Ya Allah .....apa yang tinggal....anak 5 orang. Saya yang bujang nie kalau baki akaun bank ada RM1000....saya dah mula panik dan mulalah mengira hari gaji.....inikan pulak dia yang isi rumahnya ada 7 orang dengan gaji bersih suami isteri separuh dari gaji bersih saya.
 
Saya mendengar keluhan sahabat saya ini.....saya yakin dia bukan sendirian....ramai rakyat Malaysia yang senasib seperti dia. Rakyat yang berpendapatan sederhana.....hanya mampu beli atau sewa apartment yang terletak jauh dipinggir bandar.....sebab itu sahaja yang mampu dimiliki/sewa. Menaiki motosikal sebagai alternative pengangkutan supaya duit minyak yang dijimatkan dapat digunakan untuk beli susu anak walaupun tahu mereka sentiasa terdedah kepada bahaya.
 
Bila kos sara hidup meningkat....kesannya bukan hanya dirasai oleh rakyat berpendapatan rendah, sederhana tetapi juga semua orang. Kos sara hidup tinggi....kadar jenayah juga akan meningkat tinggi.
 
hmmmmm....pagi nie sesapa yang lalu ikut jalan NKVE...panas satu badan...beria-ia isi minyak penuh tangki sbb nak jimatkan beberapa puluh ringgi sebaliknya diawal pagi...jam 6.50 pagi...kereta dah beratur panjang bermula dari tol Kota Damasara sehinggalah ke Tol Jalan Duta....saya sampai ofis jam 8.20 pagi dan terpaksa tulis surat tunjuk sebab kenapa LEWAT....terima kasih sibahalul kontraktor jalan.....satu bar minyak habis.....
 

Tuesday, August 5, 2014

Lanjutan daripada pertanyaan pembaca berkaitan dengan SMS scam

Berkenaan dengan SMS scam nie, jika anda terima SMS atau MMS maka tindakan yang perlu anda lakukan adalah:- 

1. Bagi pengguna postpaid, print penyata bulanan telefon anda dan lihat tarikh bermulanya anda dicaj. Jika sebelum caj pertama, terdapat caj RM0.15 dan diikuti dengan caj VAS (RM1, RM2, RM4, RM5) maka ia bermaksud anda telah menghantar persetujuan untuk langgan tanpa anda sedari atau handphone anda ada dimasukkan virus (untuk handphone yang baru dibeli).

2. Bagi pengguna prepaid, anda hanya menyedari anda dicaj slps kredit anda berkurangan dari sepatutnya wp anda tidak membuat apa-apa panggilan atau sms. Sila simpan sms/mms yang anda terima. Call telco anda dan minta mereka hentikan caj VAS yang diterima dari nombor 5 angka yang bermula daripada no 3. Jika taip STOP ALL, tetapi masih tetap kena caj....simpan SMS sebagai bukti 

3. Untuk menuntut kembali duit, dapatkan nama pemilik no shortcode (syarikat content provider)  daripada telco anda.

 4. Drafkan email (contoh email ini saya ambil dari forum lowyatt....ikut idea Encik/Mr ini...kepada tuan punya email ini, harap maaf saya terlupa untuk catat tulis nama anda) 

Contoh email 

Dear MOCOME Support Officer, (Mocome adalah syarikat content provider)

I like to complaint that I was subscribed to service which I didnt ask for or requested from MOCOME. I had been charged MMS Content Services from MOCOME via gateway 32263 since 24Mar2014, and the MMS Content which I didnt subscribe continue to deliver to my mobile no. 019-xxxxxxx until 26Apr2014, those MMS was ignored because I didnt realized that those MMS which I ignored cost me MYR1.00 each. 
I only realized that when I read my billing statement. immediately I called Celcom Customer Service (1111), the officer told me that charges from gateway starting with 3xxx they cant do anything, and they teach me to stop the subscription by sending STOPMMS to 32263. 

I thanks the officer and immediately I did so but no reply from 32263 stating that subscription stopped. thus, I search the web for similar cases, true enough, there was others victims who have the same problem like me (https://forum.lowyat.net/index.php?act=ST&f=61&t=2078992&st=0#entry67800469). and when I search further, I found that the service is from JOMZ.MOBI, and from the gateway no. 32263, the service might be Comic or Hollywood News. and again, I follow the instruction to stop the service by sending STOP KOMIK AND STOP GOSIPH. Unfortunately there is still no reply stating that the service had stopped. please make sure that the MMS service to my mobile had ended, all my subscriptions stopped. 


Dear Celcom Customer Service Officer, 

Thanks you for helping me to solve my problem, although I dont know the customer service officer name, but he did help me to solve my problem. Could you please make sure that I not being charged by MOCOME again, else I'm not going to pay a single cents related to the charges. Thanks. 

Dear SKMM Officer,

I'm officially filling this complaint against MOCOME, to me, their act of charging me without my agreement is crime to me. I hope you can file a case on this and investigate. 

Thanks.

 4. Email diatas hendaklah dihantar kepada 

       a)  Syarikat yang menghantar sms/mms mengunakan shortcode 5 angka yang bermula dengan no 3
       b)  Syarikat Telco anda 
       c)   kepada SKMM. 
     Satu email sahaja, hantar kepada 3 pihak sekali gus.

5. Kepada pengguna handphone, ini saja tindakan yang mampu anda lakukan. Syarikat2 content provider nie kebal. Mereka 'dijaga' oleh SKMM...setiap tahun kewangan syarikat-syarikat ini akan membayar 'ufti' sebanyak 6% kepada SKMM. Syarikat-syarikat ini juga mendapat Taraf Perintis iaitu pelepasan cukai selama 10 tahun. Hebatkan.....bagaimana permohonan mereka boleh lulus?. Adakah menyediakan content sms/mms ini boleh diketagorikan sebagai teknologi tinggi yang menyumbang kepada kemajuan teknologi negara dan memberi manfaat kepada rakyat. Psst sblm anda melatah....tolong buat carian google dahulu untuk melihat siapa yang meluluskan taraf perintis nie. 

Saturday, July 12, 2014

Kepada para pengunjung blog ini yang mana ada tinggalkan komen serta pertanyaan...saya mintak maaf kalau tidak balas dengan segera atau tidak menjawap pertanyaan atau permintaan anda.

Saya sekarang nie telah berpindah pejabat dari Mutiara Damansara ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Dulu hanya 15 minit pergi kerja....sekarang 45 minit baru sampai (kalau jalan tak jam) dan sejam lebih baru sampai ofis kalau kat lebuhraya mahameru jam hanya sebab kereta rosak sebijik.....kesan dia sepanjang jalan menghala ke pusat bandaraya. Hanya orang yang menempuh keadaan begini setiap hari akan memahami. Dah lah kena bayar tol lebih RM5 pergi balik setiap hari.......

Saya bekerja 8-5 petang....dulu saya aktif kemaskini blog sbb masa tu ofis saya sebelah rumah. Saya sewa kondo sebelah bangunan pejabat. Hanya jalan kaki ke ofis....lagi 5 minit jam 8 pagi, saya baru nak keluar rumah. Enjoy je...ada masa nak masak...ada masa nak ambik gambar cantik2. Lepas tu saya pindah ke Kota Damasara sebab ofis pindah ke Mutiara Damansara. Still dekat lagi...hanya 15 minit pergi dan balik. Masih ada masa nak buat kuih-kuih...masih ada mood dan keseronokan memasak.

Bila musibah menimpa keluarga saya pada akhir 2012.....saya berhenti memasak....saya hilang mood untuk ambik gambar masakan dan kemaskini blog. 

Kini mood kemaskini blog hilang terus....blog dah tidak dibuka lagi sekerap dulu....hanya sekali sekala bila badan tak penat. Saya pindah pejabat akhir tahun lepas.....minggu pertama tempoh jam dan terpaksa memandu lebih 45 minit untuk sampai ke pejabat dan lebih sejam untuk sampai ke rumah....kaki saya mula bengkak. Saya ingat ia tanda-tanda sakit buah pinggang...pergi ke hospital buat medical checkup....doktor beritahu kaki saya penat. Sekarang dah mula biasa dengan keadaan begini walaupun berkali-kali nak ambik borang untuk minta tukar cawangan tetapi risau lepas ke Sabah dan Sarawak....jauh pulak dari keluarga. Susah jadi orang bujang nie.....HR tunggu peluang je kita isi borang.

Saya sayang blog nie.....sekali sekala saya jenguk jugak. 


Kes curi gambar lagi...hai tak habis-habis





Yanie's Secret Premix...sedap sampai menjerit....eeeeeeee geli telinga. Kalau sedap sangat tepung premix anda tu...cubalah buat dan ambik gambar biskut anda sendiri...barulah menyakinkan orang ramai. Ini 'curi' gambar biskut orang lain...lepas tu letak kat facebook anda untuk promote tepung premix anda yang sedap sampai menjerit....hehehe...lawak...lawak.

Kreatif lah sikit oiiii kalau nak meniaga....kena jujur dengan pengguna.

Kepada blogger masakan....banyak gambar biskut lain dalam facebook Yanie's Secret's Premix nie...mungkin dari blog anda. Cuba gi jenguk.

Kepada orang ramai/pengguna-pengguna semua....adalah dimaklumkan bahawa biskut saya tidak dibuat mengunakan produk premix ini ye. So kalau yang dah beli premix nie....hasilnya tidak confirm spt yang dalam gambar ye sbb gambar yang dipaparkan di facebook tu adalah gambar milik blogger masakan. Berhati-hati dengan peniaga yang tidak jujur begini.

Friday, May 16, 2014

Bagaimana hendak recycle brooth dan membuat pin pencucuk tudung shawls

 Bagi yang memakai tudung jenis shawls, sekarang sudah menjadi kegilaan kepada pin tudung yang tergantung. Sekarang saya nak tunjukkan bagaimana hendak recycle brooth lama anda yang sudah tidak boleh digunakanlagi atau sudah ketinggalan zaman.

Ini brooth lama yang masih elok cuma pin sudah patah so dah tak boleh pakai...lagipun saya pakai shawls so brooth jenis nie dah tak guna lagi.

Anda cuma perlu ada playar kecil, pemotong pin kecil dan pin tudung (semua nie anda boleh dapati dikedai yang jual peralatan membuat aksesori).



Brooth dipotong dan pastikan gelang bulat kecil kat atas tu jangan dipotong. Pasang dengan pin pencucuk.


Anda boleh gayakan ditudung shawls. Cantikkan....tergantung comel je.


Ini adalah buah loket....saya ubah jadi pin pencucuk shawls. Saya tak rosakkan pin buah loket tu, manalah tahu bila dah boring pakai sebagai pin tudung saya boleh ubah balik jadi buah loket semula.


Inilah kerastangan saya......macam-macam bentuk pandora, ada kasut comel, burung hantu, tapak sulaiman, channel dll. 
Saya tak perlu bazirkan duit beli  span pencucuk jarum yang orang jual RM10 satu tu. Bila beli jam, ada span yang digunakan utk meletak jam. Guna je span tu dan letakkan dalam cawan kecil....jadi pokok pin pencucuk tudung. Tak sangka saya dah siapkan lebih 30 batang pencucuk tudung. 

Sunday, May 4, 2014

SMS sedut duit

Cyberjaya: Syarikat MexComm Sdn Bhd (MexComm) dijatuhi hukuman denda RM15,000 kerana kesalahan menghantar iklan SMS yang menyalahi Standard Mandatori untuk Perkhidmatan Kandungan Mudah Alih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hasil siasatan MCMC mendapati MexComm menyalahi perenggan 69 dan 71 Standard Mandatori kerana menghantar iklan SMS dengan menggunakan kod ringkas 62228 kepada seorang pelanggan Maxis. 
SMS berikut: “RM0.00 Perhatian!! Sms ON SITI ke 32339 skrg dan dpt gambar yg menarik!! Vid mp3.pdft PERCUMA jgn tunggu lagi! Type out to opt out. Mx1300223228” terbukti mengelirukan dan tidak mengandungi maklumat lengkap mengenai harga perkhidmatan langganan serta penyelia kandungan.

Siasatan lanjut turut mendapati, syarikat MexComm Sdn Bhd melanggar Syarat 2.2 Lesen Kelas ASP No: ASP/C/2005/3 yang mengkehendaki syarikat itu mematuhi segala peruntukan dikeluarkan oleh MCMC.-BERNAMA
================================================================
Berita nie keluar dalam surat khabar pada hari nie 4 mei 2014. Syarikat diatas juga yang kenakan saya tempoh hari. Syarikat yang terletak di Wisma MCA, tingkat 20 bersebelahan dengan bangunan Citi bank.


Hebat tak kereta Ferrari California yang berharga RM1,800,000 tu atau BMW sporty yang berharga RM360,000?. Anda tak merasa nak sentuh kereta-kereta nie kan tapi pengarah-pengarah syarikat content provider nie bertukar kereta setiap tahun (kereta diatas dimiliki oleh salah seorang pengarah sykt CP). Tersenarai sebagai jutawan muda dibawah umur 40 tahun. Bukak syarikat tak sampai 3 tahun dah boleh listed di Mesdaq...lepas tu beli hartanah yang berharga berjuta-juta ringgit. Kesemua mereka nie berumur diantara 36-39 tahun...adalah seorang orang tua dalam group nie tapi yang lain2 tu muda2 belaka. 

Semua duit tersebut diperolehi dari hasil merompak kredit anda semua penguna mobile.

Kalau mereka kutip kredit anda seorang RM48 sebulan daripada rakyat Malaysia....dalam masa yang singkat mereka dah boleh jadi jutawan. Bayar denda RM15,000 tak ada apa-apa makna bukan....setakat RM15,000 macam lempar kat anjing je duit tu. Lepas nie boleh kutip berjuta-juta lagi.
Tak tahulah sampai bila keadaan nie akan tamat. kalau anda baca forum-forum, daripada tahun 2006 lagi pengguna mobile mengadu kredit mereka dicuri sampai sekarang 2014...masih ada yang pengguna mobile jadi mangsa. Siapa agaknya nak tolong kita ye?.

Thursday, April 24, 2014

Berjaya mendapat pulangan kembali duit caj SMS Scam


Lanjutan daripada entri saya yang lepas, apakah tindakan anda selepas mendapati anda dicaj atas sms/mms yang anda tidak langgan?. Ini hasilnya

Saya telah menerima pembayaran atas caj SMS/MMS scam yang kenakan kedalam akaun DIGI saya oleh syarikat Content Provider yang saya tuntut. Saya tak cakap banyak dengan mereka, 7hb April saya pergi ke Tribunal Tuntutan Pengguna Shah Alam. 9hb April saya pergi ke syarikat CP buat serahan tangan....hanya serahkan borang tuntutan dan notis perbicaraan. saya bagitau pada tarikh 8hb May, sila pergi ke Mahkamah Tribunal untuk pendengaran kes.

Selepas tu saya terima panggilan telefon menyatakan syarikat setuju buat bayaran dan saya beritahu mereka bahawa apabila saya menerima bayaran kedalam akaun telefon saya barulah saya keluarkan surat pembatalan tuntutan. Hari nie 24hb April, saya terima call menyatakan bahawa bayaran telah dibuat dalam akaun Digi saya. Selepas terima resit dan semak dalam akaun Digi ada bayaran dimasukkan barulah saya buat surat pembatalan dan fax kepada TTPM.

Tak perlu nak bertekak atau bergaduh. hanya penatlah sikit sebab kena korbankan cuti separuh hari pergi ke pejabat TTPM dan pergi ke alamat CP. Mereka hanya bayar RM282, terkurang beberapa ringgit iaitu caj RM0.15 untuk sms STOP ALL. Pengajaran disini.....TELCO adalah satu-satunya pihak yang kaut keuntungan. Mereka menjadi provider yang membenarkan syarikat CP menembusi nombor-nombor mobile pelanggan mereka atas perjanjian 50:50 mungkin lebih atau kurang daripada kadar itu. Bila pengguna call, mereka suruh taip STOP ALL...mereka caj 15 sen. Mereka suruh pengguna minta kembali pulangan atau diskaun daripada CP. CP kena pulangkan duit. TELCO jugak yang untung....share 50% dapat, caj 15 sen dapat. Itu untuk saya sorang....anda...dan anda yang lain serta berjuta-juta pelanggan Telco. Uhhh....kaya tokey Telco.

Thursday, April 10, 2014

Apakah tindakan sepatutnya bila terima SMS/MMS Spam-Scam


Selepas menyedari saya terkena sms scam dan kehilangan sebanyak RM285 selepas menyemak kembali bil Digi untuk 5 bulan yang lepas....saya mula berminat untuk mengkaji tentang kes sms spam ini.

 Anda masih ingat kisah seorang pegawai bank Hock Hua Bank dalam tahun 1991, Aman Shah Bin Ahmad. beliau hanya mengambil 5 sen atau nilai sen terakhir untuk setiap baki akaun pelanggan pada setiap hari. Beliau berjaya mengumpul RM4.01 juta dan apabila didapati bersalah beliau dihukum 5 tahun penjara. Sekarang dah bebas kot. 

 Dizaman sekarang semua orang ada handphone, tak kira peringkat umur. Kalau rakyat Malaysia kini berjumlah 30 juta orang, diandaikan 10 juta adalah bayi dan kanak-kanak berumur bawah 9 tahun. 20 juta rakyat Malaysia mengunakan perkhidmatan telekomunikasi menerusi telco yang dipelopori oleh Maxis, Celcom, Digi dll. Bayangkan jika RM3 diambil dari setiap sorang tanpa disedari melalui sms spam ini?. Telco pulak kenakan caj 0.15 sen kepada anda kalau nak batalkan langganan yang anda langsung tak buat tu. Kalau sehari 3000 orang mengadu 3000 x 0.15 =RM450x30x12=162,000. Sekarang anda faham mengapa anda disuruh memberhentikan sendiri dengan taip STOP ALL.

 1juta orang x RM3 = RM3juta sehari 'dirompak' dari poket rakyat, bayangkan kalau setahun....beratus-ratus juta masuk poket syarikat Content Provider (CP) nie...oppppp dan juga syarikat Telco. 

 Bagi pelanggan prepaid, anda hanya akan sedari jika kredit anda berkurang (jika anda jenis yang beri perhatian). Bagi pelanggan postpaid, anda hanya akan sedar selepas sebulan kemudian apabila bil telefon anda tiba. Dah terlambat untuk anda...RM48 telah dicaj dalam akaun anda. Apa yang anda boleh lakukan, anda hubungi telco anda iaitu DIGI, Celcom atau Maxis. Apa yang mereka jawap "untuk memberhentikan langganan tersebut sila taip "STOP ALL" dan hantar ke nombor 3xxxx". Itu jawapan mereka....kalau anda tanya lebih lanjut barulah mereka beri nama Content provider untuk anda minta diskaun atas caj anda. 

Tahukah anda Telco (Maxis, Digi, Celcom)akan mengutip caj sms tersebut dan kemudian akan dibahagikan bersama Content Provider. Anda selalu tertanya-tanya bagaimana CP tahu tentang nombor telefon anda. Jika bukan dari telco anda siapa lagi. Menurut Presiden MMCP, telco mengambil 50% daripada caj-caj sms tersebut. Ini cakap beliau, betul atau tidak.....mereka sahaja yang tahu.

 Saya bagi contoh kepada anda...saya meniaga kek, setiap pagi saya letakkan kek di pintu pagar rumah anda. Cukup sebulan saya hantarkan bil kepada anda. Anda beritahu yang anda tak order pun kek tersebut...saya jawap "kalau anda tidak mahu langgan, anda kena tekan STOP All, barulah saya tidak hantar". Sekarang anda berhutang dengan saya. Anda marah...anda rasa dianiaya bukan. Hak anda sebagai penguna telah dicabuli.



Lihat SMS nie....apa bezanya dengan contoh saya diatas. Perbuatan yang tidak bermaruah.....jangan ingat bila anda tidak layan SMS spam ini anda akan selamat. Mereka dah bijak.

Apakah tindakan anda.

1. Tolonglah print scrin sms tersebut dan buat laporan kepada SKMM. Biarlah susah sikit asalkan dengan satu laporan/aduan kita...aduan tersebut akan diberi perhatian oleh Kerajaan. Bila terlalu banyak aduan yang diterima, lesen yang dikeluarkan oleh SKMM kepada syarikat Content Provider diharapkan akan ditarik balik. Tahukah anda kerajaan Indonesia telah menarikbalik lesen CP apabila terlalu banyak aduan dibuat oleh rakyat Indonesia. Kita mahu lesen terhadap CP ini juga ditarik balik...tak guna SKMM hanya denda RM50 ribu atau gantung satu shortcode....hari nie mereka bayar denda esok mereka buat lagi. Apa bezanya satu shortcode digantung sedangkan mereka ada berbelas lagi shortcode yang diluluskan oleh SKMM.

2. Jika anda tidak sedar yang CP telah mengenakan caj kepada anda selama berbulan-bulan lama sehingga menjadikan ia beratus-ratus ringgit sedangkan anda tidak pernah langgan atau tidak pernah terima sms yang didakwa dilanggan oleh anda.

a)  Cetak borang 1 di sini untuk masukkan kes anda ke Tribunal Tuntutan Pengguna


b) Call telco anda, dapatkan no shortcode  cth 33316 dan nama syarikat serta nombor telefon untuk dihubungi.

c) Buat carian SSM atau di internet untuk dapatkan nombor pendaftaran syarikat dan alamat terbaru syarikat.

d) Isi borang 1, buat pernyataan tuntutan atas kertas A4 (anda boleh taip)

contoh pernyataan tuntutan

Pada 02/04/2014, saya telah mendapati bil telefon bulan March 2014 yang bertarikh 21/03/2014 terdapat caj sebanyak RM48 untuk perkhidmatan Value Added Servis yang saya tidak pernah bersetuju untuk melanggan dan saya juga tidak pernah menerima sms/mms atas perkhidmatan yang kononya saya langgan. Saya menghubungi Digi pada jam 2.35 petang dan dimaklumkan bahawa perkhidmatan tersebut dicaj oleh syarikat XYZ. Saya menuntut caj tersebut dikembalikan. Jumlah tuntutan saya RMxxx. Rujuk lampiran untuk perincian bil-bil untuk bulan semasa dan bulan-bulan terdahulu.

e) Buat 4 salinan pernyataan tuntutan, bil-bil telefon anda, jika anda simpan sms/mms....boleh print sekali. Borang 1 juga buat 4 salinan. Susun kemas dan cari alamat KPDNK yang terdekat dengan anda yang menguruskan Tribunal Tuntutan Pengguna

f) Serahkan Borang 1 yang lengkap tadi berserta bayaran RM5. Tempoh perbicaraan ditetapkan sebulan dari tarikh penghantaran borang 1 (lebih atau kurang). 2 salinan borang yang telah lengkap dengan cop dikembalikan kepada anda.

g) Serahkan by hand atau buat surat berdaftar kepada alamat CP tersebut. Pastikan anda simpan slip surat berdaftar dan jika buat serahan tangan, Borang 1 salinan anda di cop terima dan terdapat nama serta IC penerima.

h) Dalam 30 minit anda akan terima panggilan telefon daripada pekerja syarikat CP tersebut. Beliau memaklumkan bahawa syarikat bersetuju untuk memulangkan caj tersebut.

i) Keesokkan harinya anda akan terima satu lagi panggilan dari pekerja tersebut, anda diberitahu bahawa bayaran telah disediakan semalam tetapi bayaran hanya akan release dalam masa 3 atau 4 minggu. Anda diminta supaya menarik balik tindakan ke mahkamah Tribunal tersebut. Jangan terpedaya.....celaka nie penipu. Beritahu mereka dengan tegas....saya hanya akan tarik balik tindakan ke tribunal selepas saya lihat bayaran masuk kedalam akaun saya....pastikan bayaran dibuat sebelum tarikh perbicaraan. Celaka nie akan mintak anda isi borang jika ingin menuntut bayaran. See.....teknik mereka, mula2 kata bayaran telah dibuat lepas tu kata akan buat bayaran dalam 4 minggu lepas tu suruh kita isi borang pulak. Ingat anda bukan pengemis.....nak isi2 borang bagai....anda hanya hendak tuntut balik duit anda yang dirompak oleh mereka.

j) Buat satu salinan Borang 1 yang telah dicop terima dan buat surat aduan.....tolonglah hantar kepada SKMM.


Kenapa saya perlu bawa kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna sedangkan saya boleh call syarikat CP dan minta dipulangkan caj tersebut?. Kenapa nak susah-susah

1. Dengan buat tuntutan melalui Tribunal, hak anda terjaga. Nama syarikat mereka telah ada dalam rekod Tribunal. Mereka tidak berani bermain tarik tali dengan anda. Anda lebih berani berhadapan dengan syarikat celaka nie sebab anda tahu ada tribunal dibelakang anda. Anda belum tahu mereka benar-benar buat bayaran seperti yang dijanjikan......mungkin kawan anda dapat bayaran tapi belum tentu anda. Anda harus ada backup....belajar pertahankan hak anda...belajar jadi kurang ajar.

2. Untuk kukuhkan aduan anda di SKMM. Aduan anda, aduan pengguna-penguna lain....biar satu lepas tu beribu dan puluhan ribu aduan diterima oleh pegawai SKMM. Jangan terlalu soal banyak dan tanya samaada SKMM akan ambil tindakan atau tidak....anda laksanakan sahaja tugas anda untuk dapatkan hak anda. Ingat...'usaha' tidak pernah akan mengecewakan anda.


Saya tulis berdasarkan apa yang lalui beberapa hari lepas...ambik cuti setengah hari pergi ke KPDNK dan kemudian pergi ke syarikat CP untuk serahan Borang 1. Saya hanya disambut oleh cleaner untie india tua yang asyik tanya "ini apa?". Mahu apa?. Saya suruh dia serahkan borang tu kepada staff...dia syik tanya "nak buat apa?. Panggil staf datang sini...saya naikkan suara. Beberapa pekerja cina lalu depan kami dengan hidung tinggi seolah-olah kami nie datang nak mintak derma...langsung tak tanya tujuan kedatangan kami....harapkan cleaner yang asyik tanya ' apa nie.....apa nie....apa nie".

Cleaner masuk dalam ofis dan hampir 15 minit barulah keluar bersama seorang pekerja melayu. Saya hanya senyum....kalau yang jadi tukang 'cuci tahi' nie mesti melayu. Pekerja melayu tu datang dan tanya saya "ini apa?". "tak tahu baca ke?" saya jawap. Saya suruh dia turunkan tandatangan, tulis nama dan cop syarikat atas salinan Borang 1 kepunyaan saya dan serahkan Borang 1 kepunyaan syarikat. Saya beritahu jumpa pada tarikh nie dipejabat Tribunal.

Sebelum keluar, saya pandang papan tanda syarikat tu....anda silap buat hal dengan saya. Dalam minggu ini sehari suntuk saya berada dimeja menyiapkan fail merah jambu berpalang. Saya  kasihan kepada pengguna yang mengadu nasib 'dirompak' oleh syarikat CP nie di forum Lowyatt.....di blog, di laman web getstatifaction Celcom yang kononnya perihatin. Rakan sekerja saya berkata " mereka pilih silap orang" apabila melihat saya begitu tekun menyiapkan laporan untuk dimasukkan dalam fail merah jambu, mungkin ini hidayah disebaliknya....atleast bila kena batang hidung sendiri saya tergerakhati untuk menolong orang lain.
=====================================================
Update terkini. 18/06/2014....saya telah tunaikan janji saya kepada mangsa-mangsa sedut duit sms scam. Kepada yang terlibat...anda tahu siapa saya?. Selamat berkenalan.
========================================================================

Untuk anda yang ingin ambil tindakan terhadap syarikat CP, ini ada sedikit maklumat untuk anda

IKOGO Sdn Bhd
No Pendaftaran 636324-T
Alamat : B-6-5 Strauss Tower Mont Kiara Sophia, Jalan Kiara 1 Mont Kiara, 50480 Kuala Lumpur


iSentric Sdn Bhd
No Pendaftaran : 183309-K
Alamat : No 3, Jalan 51A/227, Seksyen 51A, 46100 Petaling Jaya
Tel: 03 78751000/037875 1134 Fax: 03-7874 2908


Mexcomm Sdn Bhd
No Pendaftaran 777810-D
Suite 20.04-20.05, 20th Wisma MCA, 163 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur
Tel: 1300223228/03-21633208/03-2163 3228
Fax: 03-2163 2998


Everworks Solutions (M) Sdn Bhd
No Pendaftaran syarikat: 704528-K
Alamat: G-1-28, Jalan PJU 1/45 Aman Suria Damansara 47301 Petaling Jaya

 ( contoh sms diatas adalah dari shortcode 33316 adalah milik Everworks)

Ini adalah beberapa syarikat yang kerap menghantar sms spam dan mengenakan caj atas bil anda walaupun anda tidak pernah langgan. Kalau anda perlukan nama lain, beritahu shortcode ( nombor 5 angka), saya akan beritahu nama syarikat CP tersebut.

Thursday, April 3, 2014

Bagaimana hendak block no phone telemarketer dan scammers

Ini satu lagi info yang ingin saya kongsikan kepada anda. Bagaimana hendak mengetahui nombor panggilan yang masuk adalah spammer atau scammer atau telemarketing yang begitu annoying yang tidak tahu nak stop bila bercakap atau anda rakyat malaysia yang baik hati yang tak tahu bagaimana nak kurang ajar. Ini satu cara bagaimana anda mengelakkan mereka semua

Anda pergi ke blog ini. Blogger ini aktif mengupdate nombor-nombor telefon yang disenaraikan sebagai scammer atau penipu-penipu.

http://christopherteh.com/blog/2011/10/telemarketer/

Dah masuk ke blog christopherteh, anda copy paste nombor2 telefon tersebut kedalam Microsoft office Excel komputer anda






Nombor telephone tersebut bersambung dengan huruf so susah anda nak massukkan dalam contact no anda. Jangan bimbang tak perlu taip satu-satu....ada 1000 lebih nombor kat situ, takan nak taip satu-satu.

Letakkan cursor kat ruangan atas sekali cth kolom K baris 1. Tekan Fx



Anda akan nampak paparan ini, kat select a category tekan All dan cari perkataan LEFT. Tekan OK


Lepas tu ia akan keluar paparan ini, dekat text bawa cursor ke ruangan paling atas bahagian kiri sekali iaitu di kolum A1. Kat ruang Num_Chars tekan 5 sebab no phone yang kita nak ambik tu ada 5 huruf iaitu 22001. Lepas tu tekan OK

Untuk memudahkan anda, letakkan cursor kat ruangan 22001 dan bawa cursor ke bahagian bucu kanan dan pastikan cursor anda akan berbentuk + dan tarik kebawah sampai ke nombor phone 5 angka tamat. Semua nombor sudah disalin serentak.


Untuk no phone dibaris ke 7, tukarkan Num_Chars ke nombor 12 sebab ada 12 ruang dalam nombor phone tersebut termasuk tanda (-).

letakkan cursor dibucu bawah kanan sehingga berbentuk + dan tarik turun ke bawah sekali sehingga habis. Ia akan salin semua sekali secara automatik tanpa anda perlu ulang satu-satu.



Bila anda sudah dapat semua nombor-nombor telefon tersebut, copy dan paste ke sheet baru. Buat 3 kolum. Kolum pertama isi nombor, kolum ke dua tulislah nama yang ingin anda letak pada nombor tersebut seperti scammers1 atau jangan angkat1...suka hati anda. Kolum ketiga barulah nombor telefon.


ada lebih kurang 1200 nombor phone. ini saya copy pada tarikh 1 april 2014. Mungkin ada tambahan lagi. Cara senang nak buat numbering secara automatik taip number 1 dan kemudian letakkan cursor dibucu bawah kanan dan tarik sehingga ke bawah. Secara automatik nombor akan dimasukkan ikut urutan. begitu juga dengan perkataan scammers...taip scammer 01 dan letakkan cursor dibucu bawah sebelah kanan sehingga muncul + baru tarik hingga kebawah sekali. Secara automatik scammers 01 akan bernombor sehingga scammers 1233 atau lebih.

Ini adalah salah satu fungsi excel yang anda kena explore. Seronok belajar guna excel. Bagi orang yang bekerja dengan angka...excel adalah permainan mereka. terdapat beratus-ratus fungsi yang boleh dibuat.


Sekarang SAVE. Tulis file name anda cth Block Phone No kemudian dibahagian Save as type, pilih CSV(comma delimited)(CSV).

Bukak google mail anda. Di akaun email google anda klik Gmail, dan pilih Contact. Pilih Import Contacs


Tekan Choose File dan pilih file anda tadi Block Phone No. csv.  Kemudian tekan Import




Ok...semua nombor telah di import ke bahagian contacts. Tutup gmail anda.

Sekarang tengok smartphone anda......Saya guna Samsung GalaxyNote2




Dibahagian contact, semua nombor tersebut telah keluar di handphone. Nombor-nombor 5 angka nie terus set kan sebagai reject list. Kalau no hp kita boleh ignore sahaja. Kalau nak lebih senang lagi nombor-nombor handphone ini boleh letakkan vibration supaya dia tidak menganggu anda. Bahagian Call rejection hanya muat untuk 100 nombor sahaja jadi pilih yang paling menganggu sahaja..keutamaan adalah pada nombor 5 angka.

Dalam senarai nombor telefon tu ada nombor 66688 dari Astro. Yang nie janganlah block sbb nanti tak tahu pulak pengesahan bayaran astro anda kalau pakai online banking.

Anda hendak semak selama ini berapa banyak nombor dari telemarketing atau penipu menelefon anda. Cuba lihat kat Phone bahagian Logs. Dalam hp saya ada puluhan nombor dalam list scammers yang telah menelefon saya tapi kebanyakannya saya tak angkat sbb saya takan angkat nombor yang saya tak kenal. Tapi bahaya jugak manalah tahu kalau2 nombor phone penting juga saya tak angkat.

Kepada yang hendak mencuba, harap anda ada sikit basic tentang Excel. Selamat mencuba

Perhatian kepada pelanggan post paid Digi, Maxis atau Celcom

Saya ingin berkongsi maklumat dengan anda yang melanggan perkhidmatan postpaid dengan telco seperti Digi, Celcom dan Maxis. 

Bagi pelanggan post paid, untuk mengelakkan caj RM3 dikenakan atas bil maka kita memilih online bil. Saya pelanggan lama Digi, saya guna Digi hampir 12 tahun dan tiap2 bulan saya terima rebat sebanyak RM15 bagi pakej internet RM58. Ok nampak jimatkan....bila dah ada kemudahan internet, wasap dll, saya amat jarang buat panggilan telefon atas sms....kalau nak buat panggilan, saya guna telefon TM dan menghubungi mak yang juga guna TM so jimat dari segi bil.

Tiap2 bulan saya buat bayaran secara tetap ke akaun DIGI untuk amaun RM58. Tiba-tiba akhir bulan lepas Digi hantar peringatan yang tunggakan bil saya sudah melebihi had kredit. Saya pelik....tiap2 bulan payment dibuat secara tetap mengunakan Maybank2U, bagaimana ada tunggakan.

Inilah jawapannya.......







Saya mempunyai tunggakan melebihi RM300. Saya tidak pernah menghantar atau menerima apa-apa perkhidmatan daripada nombor 32338.

Bila terima sms dari nombor-nombor 5 angka, saya akan terus delete tanpa membuka sms untuk membaca. Sangkakan bila saya mengabaikan sms tersebut saya terselamat tetapi inilah musibah yang saya terima akibat mengabaikan sms mereka. Mereka caj terus dalam akaun bila kita tidak taip STOP ALL.

Saya call DIGI, jawapan standard yang diberikan 'pihak kami tidak bertanggungjawap atas caj tersebut, puan boleh buat tuntutan kembali duit puan kepada syarikat tersebut" "untuk berhenti menerima SMS dari kod singkat 3 siri, puan kena taip STOP ALL dan hantar ke 32338

Bila kita taip STOP ALL maka caj 0.15 dikenakan. SALAH KITA KE SEBAGAI PENGGUNA?


inilah jawapan yang saya terima bila taip STOP ALL ke nombor 32338. Saya tidak subscribed service tetapi kenapa saya dicaj oleh mereka.

Saya tidak akan berhenti disini, Saya akan buat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna sebagai seorang pengguna. Kepada syarikat (saya dah kenalpasti syarikat haram jadah nie) dan 3 pengarah syarikat haram jadah yang berbangsa cina tu.....saya akan pastikan anda terima padahnya.

Kepada DIGI...kesetiaan saya kepada perkhidmatan anda sampai saat ini sahaja. Celcom dan Maxis pun sama sahaja....hai kesian jadi rakyat Malaysia....kena 'rompak' tak kira masa.

Kepada rakan-rakan sekelian...sila masukkan no 32338 dalam phone anda dan kemudian pergi kepada setting dan di call setting setkan kepada Call Rejection atau tambahkan terus kepada reject list. 

Friday, February 14, 2014

Nasi Goreng Kimchi


Aktiviti memasak memang sudah lama terhenti....kalau memasak pun hanya untuk kenyangkan perut dan kalau nak publishkan dalam blog nampak macam tak sesuai.

ini adalah bekal saya untuk sarapan dan merangkap makan tengahhari. Saya hanya makan sekali sahaja...kalau sarapan, tengahhari saya dah tak makan. Nasi goreng kimchi...

Masa ke Korea tahun lepas, saya beli 6 pek kimchi yang setiap satunya berlainan jenis. Paling sedap adalah kimchi sotong. Kimchi sawi putih baru sahaja habis sebulan yang lepas dan tinggal sebungkus kimchi lobak. Berat satu pek kimchi adalah 1 kg. Sebab tulah untuk menghabiskan satu pek kimchi ambil masa berbulan jugaklah.

Kalau nak buat bekal sarapan pagi...memang mudah sangat. Nasi dah masak malam so bangun pagi hanya potong bawang kemudian panaskan sedikit minyak. Tumis bawang dan pecahkan sebiji telur, masukkan kimchi, masukkan nasi yang telah digaulkan dengan sedikit garam. Kacau rata dan kemudian angkat. Mudahkan....resepi macam nie tak yah masuk blog.

Mesti nak tahu...sedap ke tidak nasi goreng kimchi. Hari nie pertama kali cuba buat nasi goreng kimchi lobak. Saya suka....rasa nasi goreng masam-masam kena pulak dengan telur. Beras yang saya guna adalah beras wangi. Kimchi lobak nie rangup dan masam-masam sikit, kurang pedas sangat. Kimchi yang sedap adalah kimchi yang bila anda makan sayurnya masih ranggup. Harga satu pek kimchi nie adalah Won15 000 atau RM44 lebih.