Saturday, April 3, 2010

Resepi Emak

Seorang kawan yang mengenali saya telah melawat blog ini beberapa hari lalu. Dia tanya saya mengapa saya tidak masukkan resepi dari emak saya. Kenapa saya rajin memasuki kelas masakan untuk belajar kuih-muih sedangkan saya membesar dengan menolong emak membuat kuih-muih untuk jualan setiap hari.
Emak saya mula buat kuih untuk jualan sejak saya berusia 10 tahun. Selepas kematian ayah ketika umur saya 12 tahun, emak memikul tanggungjawap membesarkan kami 6 beradik dengan berjualan ditepi jalan pada setiap pagi untuk mencari rezeki. Saya sebagai anak sulung memang membantu dia. Dia tidur pada jam 12 malam dan bangun jam 4 pagi setiap hari selama lebih 18 tahun. Selepas kami semua mampu berdikari dan bekerja, dia berhenti membuat kuih-muih. Kini sudah lebih 5 tahun dia berhenti dan tinggal bersama adik saya di Terengganu.
Ketika diusia remaja, saya memang tidak beri perhatian ketika dia membuat bancuhan kuih-muih. kalau saya bertanya tentang resepi, dia cakap " belajar pandai2, jadi pegawai....jangan ikut jejak mak". Ada satu masa ketika dia melawat jiran kami yg sakit, dia tidak sempat hendak pulang awal so dia call dan minta saya buat bancuhan tepung karipap dan kuih-muih yang lain. Dia beritahu apa yang patut saya buat tapi hari lusanya pelanggan tetap beliau mengadu rasa karipap tu lain dari biasa. sejak tu saya tidak pernah buat apa-apa bancuhan kuih lagi. Emak akan buat semua bancuhan kuih-muih dan letakkan ditepi. Apabila saya siap buat semua kerja sekolah, saya akan turun kedapur dan buat semua kuih-muih itu tadi.
Sekarang saya sudah tidak dapat merasa lagi kuih-muih buatan tangan emak. Emak pulak apabila saya balik bercuti....akan 'mendera' saya dengan menyuruh saya memasak. Dia kata nanti saya lupa cara nak pegang senduk sbb masak setahun sekali. Sekarang amat susah hendak meminta beliau membuat kuih kegemaran kami. Apabila saya tanya resepi kuih, seperti orang tua-tua lain dia bagitau bahan-bahan resepi pakai agak-agak....mana ada sukat2 pakai timbang atau cawan.
Oleh kerana saya dibesarkan oleh emak yang membuat kuih-muih maka saya amat cerewet pasal kuih-muih ini. Saya agak sukar membeli kuih-muih terutama di pasar ramadhan. Sejak kebelakangan ini saya minat semula dalam memasak dan mula rasa terkilan sebab tidak menyimpan semua resepi emak.
Saya masuk kelas masakan sbb saya mahukan resepi lengkap dengan sukatan dan yang paling penting adalah belajar TEKNIK chef membuat sesuatu masakan. Teknik masakan amat penting...anda tidak boleh dapat dengan hanya membaca resepi sahaja sbb ada sesetengah teknik tidak boleh digambarkan dengan perkataan. Setiap orang ada rahsia mereka sendiri......sebab itulah jika kita mencuba resepi yang sama tetapi tidak menjadi seperti tuan empunya resepi sbb mereka tidak boleh menerangkan teknik2 dengan terperinci sbb susah untuk ditulis kecuali anda lihat dia buat.

No comments: