Tuesday, December 21, 2010

Kari Ikan ala mamak

Ikan bawal nie sebenarnya dah seminggu dalam peti ais saya. Saya dah siap bersihkan dan potong 4 kemudian masukkan kat tempat beku. Buat kari ikan untuk dimakan bersama lempeng. Kari nie kurang minyak dan santan so rasanya ala-ala kari mamak lah. Kari kalau nak cantik memang kena masukkan minyak banyak semasa menumis tapi sekarang saya kenalah buat kari yang kurang minyak. Bila saya masak kari ikan nie, saya teringat kepada arwah pak cik saya (meninggal di usia 24 tahun akibat barah tulang) amat gemarkan kari. Selang sehari harus masak kari.



Ada satu tip untuk anda. Selalunya ikan yang telah lama simpan didalam peti ais akan tidak segar dan sesedap ikan baru so untuk mendapatkan kembali kesegaran ikan yang disimpan dalam peti ais, rendam ikan tersebut didalam susu segar sebelum digunakan.





Oh ya kari ikan saya nie kosong sebab banyak bahan yang tak ada dalam peti ais tu tapi resepi yang saya bagi adalah lengkap semua bahan. Saya tak boleh beli bahan mentah banyak sebab jarang guna nanti membazir....bukannya masak tiap2 hari hanya hari minggu sahaja.


Kari Ikan ala mamak
Bahan-bahannya:-
  • 1 ekor ikan bawal-dipotong-potong
  • 40gm serbuk kari ikan (anda boleh guna baba's untuk dapatkan rasa kari mamak)
  • 5 biji kacang bendi
  • 1 biji tomato dipotong 4 @ 6
  • 50gm santan pekat (saya guna santan kotak)
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • 1 sudu besar halba campur
  • 2 tangkai daun kari
  • 2 cawan air @ secukupnya (ikut suka anda)
  • 1 susu besar minyak masak
  • garam secukup rasa

Bahan kisar

  • 5 biji bawang merah
  • 1 inci halia

Bahan tumis

  • 2 ulas bawang putih-dihiris
  • 1 biji bawang merah-dihiris

Cara-caranya:-

  1. Masukkan serbuk kari, bahan dikisar dan 1 cawan air kedalam mangkuk dan bancuh sehingga jadi pes. Biarkan ia sebentar supaya bahan-bahan mesra bersama.
  2. Panaskan satu sudu besar minyak, kemudian masukkan bahan tumis, halba, daun kari dan biarkan ia sehingga naik bau.
  3. Masukkan pes serbuk kari serta air asam jawa dan perlahankan api. Biarkan ia mereneh sehingga naik minyak selama 10 hingga 15 minit. Tutup tudung periuk tapi sentiasalah tengok supaya bahan tumisan tak hangit.
  4. Masukkan santan dan baki air serta ikan. Masak lagi selama 15-20 minit.
  5. Masukkan kacang bendi, tomato dan garam. Masak sehingga bendi lembut.
  6. Angkat dan hidangkan.

No comments: