Showing posts with label Aneka Mee/Mihun/Pasta. Show all posts
Showing posts with label Aneka Mee/Mihun/Pasta. Show all posts

Thursday, May 3, 2012

Mee Kari Ala Nyonya

Mee kari Ala Nyonya nie saya buat guna resepi kat blog kak jee. Macam kak jee tulis kat blog dia.....mee kari nie memang sedap giler. Resepi simple tapi sedap sangat. Saya buat hari selasa lepas. Teringin nak makan mee kari so pergilah kedai runcit dan belilah ayam 1/2 ekor (RM6.50), kerang RM2, mee kuning sepeket, kelapa parut sebijik RM2.00, taupok RM2 satu pek. Habis lebih RM14 hanya untuk masa mee kari dan yang makannya hanya seorang. Lepas habis semangkuk mee kari.....terus masukkan baki kari dalam bekas besar dan bekukan dalam peti ais. Tak tahulah berapa lama kari tu nak berada dalam peti ais sebelum saya nak panaskan dan makan. Tengok....sebab tulah malas nak masak....kalau masak dan makan sorang-sorang nie memang tak syok....dahlah kos bahan sahaja tidak berbaloi dengan sorang makan tapi disebabkan nak rasa keenakan mee kari resepi kak jee....masak jugak. Oh ye mee kari saya nie tak banyak bahan sampingan sebab saya tak nak beli bahan mentah banyak2 pastu terbiar dalam peti ais so saya hanya beli yang perlu sahaja. Resepi boleh ambik kat blog kak jee kat sini.

Wednesday, October 19, 2011

Makaroni goreng bersama sardin

Semalam ambik cuti rehat sehari sebab nak tunggu kontraktor TM net datang untuk pasang Unifi kat rumah. Sementara tunggu mereka siapkan kerja pemasangan, saya sempat buat makaroni goreng bersama sardin untuk hidangan tengahhari saya. Kerja-kerja pemasangan tamat jam 12.30 tengahhari.

Boleh tahan sedap jugak rasa makaroni goreng dengan sardin nie. Buat setengah paket makaroni....siap boleh bawak sebagai bekal lagi hari nie. Punyalah banyaknya saya buat macam nak makan sekeluarga.

Makaroni goreng bersama sardin

Bahan-bahannya:-
  • 3 tsp minyak masak
  • 1 biji bawang besar-dihiris
  • 5 biji cili padi, dihiris
  • 450gm sardin tin, di hancur kasar (saya guna 1 tin sederhana sardin)
  • 1 tsp pati asam jawa
  • 1/4 cawan tomato sos
  • 1 tbsp gula (sy guna 1/2 tbsp sahaja)
  • 1/4 cawan air
  • 250gm makaroni (boleh gantikan dengan penne)
  • 5 helai daun limau purut, dihiris nipis (saya tak masukkan)
Cara-caranya:-
  1. Rebus makaroni sebagaimana arahan di peket. Angkat dan toskan
  2. Panaskan minyak didalam kuali dengan api sederhana. Tumis bawang dan cili sehingga naik bau.
  3. Masukkan sardin, pati asam jawa, tomato sos, gula dan air. Masak selama 1 minit
  4. Masukkan makaroni yang telah direbus tadi dan kacau rata.
  5. Angkat dan hidangkan dengan ditaburkan daun limau purut atau daun sup.

Tuesday, August 16, 2011

Mee Rebus Terengganu

Semalam teringin sungguh nak makan sesuatu yang berkuah rebus sahaja. Ini menu kegemaran saya bila bulan puasa terutama bila dah tak lalu nak makan nasi. Mee rebus terengganu versi adik perempuan saya. Saya pernah tanya kawan yang asal terengganu.....versi asal lain sikit tapi asasnya samalah. Dah makan(lepas berbuka semalam) baru teringat nak ambil gambar sebab tu kuah dia dah nampak ada lada kicap. Lada kicap penting disediakan bersama dengan mee rebus nie.....kalau tak ada.....tak ummmp. Manis kuah mee rebus nie datangnya dari banyak bawang putih, lada hitam dan fish ball serta ayam dan sayur sawi. Saya paling suka makan sawi organik....rasanya lain dari sawi biasa yang dijual walaupun harganya mahal....satu pek kecil RM3 lebih.


Resepi mee rebus nie dah pernah saya publishkan kat sini dan sini.

Sunday, August 7, 2011

Mi Udang

Nie entry tertunggak.....saya buat mi udang nie sebagai jaudah berbuka pada hari jumaat lepas. Resepi simple dari buku Dunia Masakan Chef Sabri.

Mi Udang
Sumber: Dunia Masakan Chef Sabri
Photo & Publish by resepidaria.com

Bahan-bahannya:-


1 kg mi kuning


300gm udang segar


300gm sotong


200gm ayam dipotong dadu/kecil


3 sudu makan cili boh


2 ulas bawang merah


1 ulas bawang putih


200gm sawi


100gm taugeh


1.5 liter air rebusan ayam


5 sudu makan soso cili


4 sudu makan sos tomato


3 sudu makan sup tomato


2 sudu makan gula


2 sudu kecil garam


Hiasan: Bawang goreng, telur rebus dan daun sup


Cara-caranya:-


1. Tumiskan bawang putih, bawang merah, cili boh hingga naik bau


2. Masukkan udang, sotong, isi ayam, cili boh dan kacau slama 1 minit


3. Masukkan air rebusan ayam, sos cili, sos tomato, sup tomato dan biarkan ia mendidih


4. Masukkan mi kuning dan bahan-bahan lain


5. Masukkan garam dan gula secukup rasa


6. Hiaskan dengan bawang goreng, telur rebus dan daun sup.


Nota:-


Saya masukkan mi kuning hanya apabila hendak makan. Saya masakkan kuah dahulu.


Saya buat 1/4 daripada sukatan diatas.





Thursday, February 17, 2011

Mihun Goreng Taucu


Ini adalah hidangan untuk dinner saya semalam dan juga untuk lunch hari nie. Senangkan sekali masak untuk 2 kali makan.....alasan orang malas hahaha. Kat area ofis saya nie....kami semua menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan yang sedap dan pelbagai. Ada peniaga kat building nie tapi uhhhhhhh tak payah ceritalah....banyak sungguh komen2 yang didengar dari semua staff berkaitan dengan kualiti dan kemahalan harga makanan....memang tak berbaloi bila beli. Kita tak kisah bayak mahal untuk makanan yang sedap tapi jangan sebaliknya. Sebab tu saya lebih selesa bawak bekal lagipun kan boleh kontrol kalori kalau kita masak sendiri.



Saya sempatlah masak hidangan mudah nie sebab petang semalam.......seperti biasalah pergi gym lepas habis waktu kerja. Waktu pagi agak kelam kabut sikit ambil pakaian gym so bila masa kat bilik persalinan di gym.....saya pun tukarlah baju kerja ke pakaian gym. Mak aaiiiii.....seksinya seluar akak...seluar tu jenis melekat kat badan dan baju t-shirt pulak agak singkat so nampak 'tak elok' sangat nak dipakai. Bila tengok kat cermin.....macammana lah saya boleh beli seluar nie dah lah mahal pulak tu. Tak sanggup rasanya nak keluar dari bilik persalinan kalau pakai seluar tu....so saya salin semula pakaian gym tadi dan pakai balik baju kerja....keluar gym. Tak pelah tak exercise petang nie dari dok tayang body. Sebab tu saya boleh balik awal ke rumah dan masak mihun nie.



Kalau anda jenis yang suka makan masakan yang ada tauchu...cubalah buat pulak mihun nie. Sedap jugak rasanya.


Mihun Goreng Taucu


Sumber: Majalah Rasa Mac 11


Bahan-bahannya:-

  • 200gm mihun-direndam
  • 2 sudu makan taucu
  • 100gm ayam cincang
  • 2 biji telur
  • 5 biji cili api
  • 1 ulas bawang merah
  • 1 sudu makan cili kering yang telah dikisar
  • 30gm kubis-dihiris (saya gantikan dengan daun kuchai)
  • garam secukupnya
  • 1 sudu makan sos cili (saya tambah)
  • 1/2 tsp gula (saya tambah)
  • Air secukupnya (saya tambah)

Cara memasaknya:-

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang dan cili kering kisar sehingga garing. Apabila sudah kering masukkan sedikit air. kacau rata
  2. Kemudian masukkan ayam cincang dan kacau rata
  3. Masukkan hirisan kobis, cili padi, taucu dan kacau sebati. Saya tambah sos cili dan sedikit gula. Rasa dahulu sebelum masukkan garam sebab taucu masin ye.
  4. Pecahkan telur dan kacau rata
  5. Masukkan bihun dan kacau sebati. Angkat dan hidangkan.

Nota:-

  • Saya pecahkan telur dan pukul sedikit dan kemudian goreng hancur terlebih dahulu dan ketepikan.
  • Tambahan air bergantung kepada kelembutan mihun anda. Jika masa rendam mihun sekejap maka air perlu dimasukkan banyak sedikit tapi jika direndam lama maka cukuplah sedikit sahaja sahaja. Agak-agaklah ye.

Monday, January 31, 2011

Spageti/pasta Goreng Mamak

Saya buat spageti goreng mamak sebagai bekalan tengahhari semalam ketika membasuh rumah baru. Selepas shopping di Tewah, saya terus ke Kota Damansara untuk cuci rumah atau yang lebih tepat saya curah air ke lantai bagi memastikan lantai semua ruang dalam rumah saya dalam keadaan baik, tiada tinggi sebelah. Saya ingat lagi ketika menyewa di Shangvilla Condo, salah satu bilik dikondo tu senget. Saya tak mahu hal ini berlaku di apartment saya.


Sebelum keluar rumah terfikir nak masak apa sebagai bekalan sbb malas nak singgah kedai. Mee tak ada, mihun pun dah habis......yang ada cuma spageti. Teringat akan resepi pasta goreng mamak dalam majalah Rasa Feb 11. So saya pun mencubalah resepi yang berbeza dan unik ini.
Spageti/pasta Goreng Mamak
Sumber: Majalah Rasa Feb 2011
Publish & Photo by resepidaria.blogspot.com


Bahan-bahannya:-
  • 500gm spageti (dicelur sehingga masak dalam air yang dipanaskan bersama sedikit minyak)
  • 4 biji bawang merah-dikisar
  • 3 ulas bawang putih-dikisar
  • 3 susu makan cili kisar
  • 2 sudu makan kicap masin
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1 biji cili merah
  • 1/2 biji tomato (dipotong 4)
  • 20gm taugeh
  • 1 keping tauhu (dipotong kecil)
  • 1/4 lobak merah-dihiris kecil
  • 2 hiris timun-hiasan
  • sedikit daun bawang
  • 2 hiris limau nipis-hiasan
  • sedikit daun bawang
  • Garam dan gula secukupnya
  • sebiji telur dan 2 sudu makan udang kering (ini saya tambah)

Cara memasak:-

  1. Panaskan 1 sudu makan minyak dan goreng tauhu sehingga sedikit garing. Angkat dan kemudian masukkan pula telur (dipukul perlahan) dan goreng sebentar. Angkat dan ketepikan. (cara nie saya tambah dari resepi asal)
  2. Panaskan 1 sudu makan minyak, tumis bahan kisar sehingga naik baunya.
  3. Kemudian masukkan cili kisar bersama kicap masin, sos tiram, udang kering,garam dan gula. Biar masak sehingga garing. Masukkan sedikit air jika terlalu kering.
  4. Masukkan spageti dan gaul rata.
  5. Masukkan tauhu, lobak merah dan cili merah. gaul rata.
  6. Masukkan pula telur goreng, tomato dan daun bawang.
  7. Angkat dan hidangkan bersama timun dan hirisan limau.

Nota:-

  • Saya tak masukkan daun bawang, cili merah, lobak merah sbb tak ada. Saya masak sempoi sangat sebab yang paling penting adalah rencahnya.

Monday, December 27, 2010

Laksa Utara

Laksa utara dimakan sebagai lunch dan merangkap dinner sekali semalam sebab pulang lewat ke rumah. Kuah laksa yang buat pada malam ahad dan rendam laksa semalaman, pagi isnin tu kukus laksa sebelum bawa ke pejabat. kalau tengok dalam mangkuk laksa saya tu, tak banyak ulam-ulaman sebab terlupa.....terlupa timun, potong bunga kantan lagipun kan saya nie tak suka banyak benda yang menserabut kat atas laksa saya.


Resepi simple mak saya.....mak saya nie orangnya jenis sempoi. Sempoi gila-gila sampaikan kadang2 saya risau dengan dia. Masa nak letak wang hantaran adik saya, dia boleh kata 'ikut kemampuan pihak lelaki' pada rombongan lelaki. Saya cakap kat dia "kalau diaorang hantar RM2 ribu, cam mana nak buat kenduri...janganlah macam tu", dia boleh jawap "tak pelah, kita buat kenduri makan bihun". Hal-hal masak pun dia sempoi.....bubuh apa yang ada je, dia jenis tak ikut resepi.



Ok inilah resepi mak saya, dia buat macam nie dan laksa dia nie memang hidangan wajib bila hari raya. Cucu-cucu dan menantu dia memang akan makan berpinggan-pinggan wp bahan hiasan dia tak semeriah orang lain. Kadang-kadang hanya telur rebus, limau dengan cili potong sahaja, macam dalam mangkuk anak dia jugak.....pengaruh mak.


Laksa Utara


resepi dan publish by resepidaria.blogspot.com



Bahan-bahannya:-


  • 1/2 kg ikan sardin/kembung/selayang (saya guna ikan sardin segar)
  • 4-6 biji cili kering, direbus dan dimesin
  • 1/2 labu bawang besar-dimesin
  • 6 ulas bawang merah-dimesin
  • 4 ulas asam keping (masukkan 4 dulu lepas tu tambah jika perlu)
  • 1 batang bunga kantan
  • segengam daun kesum
  • 1/2 bungkus laksa
  • 200gm udang segar
  • garam secukupnya
  • 1 1/2 - 2 liter air

Bahan hiasan

  • Ulam-ulam kegemaran anda seperti pucuk gajus
  • telur rebus
  • sebiji timun, dihiris halus
  • bawang besar-dihiris halus
  • bunga kantan-dihiris halus
  • cili padi - dihiris halus
  • nenas-dihiris nipis (jika suka)
  • limau

Cara-caranya:-

Laksa

  1. Rendam laksa terlebih dahulu supaya ia sedikit lembut dan kemudian baru kukuskan selama 30 minit. Angkat dan masukkan kedalam bekas yang berisi air dan biarkan ia terus kembang. Bila nak makan baru masukkan dalam penapis dan tapis sehingga kering air.

Kuah:-

  1. Bersihkan ikan dan udang. hanya buang isi perut ikan sahaja dan basuh bersih. Bersihkan udang dan pisahkan antara isi dan kulit serta kepala udang. Isi udang masukkan kedalam bekas lain dan ketepikan
  2. Rebus ikan dengan 800ml air dalam 20-30 minit bersama-sama dengan 2 keping asam keping. Keluarkan ikan dari periuk tapi air rebusan tu jangan dibuang. Pisahkan isi ikan dengan tulang dan kepala ikan. Pastikan isi ikan itu tiada tulang yang kecil-kecil tu. Masukkan isi ikan dalam bekas yang lain.
  3. Masukkan air rebusan, tulang ikan, kepala ikan, kulit udang serta kepala udang kedalam blender dan blender sehingga lumat. Tapis ambil pati yang pekat. Pastikan anda tapis elok2. Bersihkan blender anda.
  4. Blender pula cili, bawang dan isi udang sehingga lumat.
  5. Masukkan cili yang diblender dan pati tulang ikan dalam periuk. Masukkan air selebihnya dan asam keping. Masak dengan api yang sederhana perlahan sehingga ia mendidih.
  6. Lenyek2 isi ikan anda dengan belakang sudu. Masukkan kedalam periuk.
  7. Masukkan bunga kantan dan daun kesum.
  8. Biarkan ia sehingga betul-betul masak dan berasa asam. Masukkan garam dan tambah asam keping lagi jika anda rasa perlu.
  9. Angkat dan boleh dihidangkan bersama laksa dan bahan hiasan yang lain.

Nota:-

  1. Tentu anda tertanya-tanya, apa fungsinya udang. Macam mana dia buat laksa bubuh udang?. Family kami tak guna bahan perasa seperti ajinomoto atau yang lain-lain dalam masakan. Tak pernah ada didalam dapur kami. So itulah fungsinya udang disini iaitu sebagai bahan pemanis dalam kuah laksa. Supaya kuah laksa lebih manis. Udang adalah rahsia mengapa kuah laksa mak saya sedap. So saya dah bocor rahsia dia hahahah.
  2. Anda boleh tambah belacan jika suka.
  3. Rahsia utama untuk laksa sedap adalah asam dan kuah haruslah dimasak dengan api sederhana dan biar mereneh lama. kuah laksa nie kalau lagi lama lagi sedap sebab asam keping tu dah betul2 sebati dengan kuah. Oleh itu sentiasa rasa kuah anda dan jika terasa kurang asam, tambah lagi jangan ikut sangat kuantiti kat atas tu. Ikut lidah anda.
  4. Laksa pula jangan patah-patahkan. Biar ia panjang sebab itu yang buat laksa lagi kick.
  5. Bahan tambahan untuk dimakan dengan laksa tu ikut suka selera anda lah. selalunya kalau keluarga kami timun, cili, telur rebus (jangan rebus lama cukup 10 minit sahaja) dan limau dah cukup.
  6. Kalori semangkuk laksa yang berukuran 16.5cm adalah 376 kalori. So ia amat-amat sesuai sangat untuk orang diet ye tapi dalam semangkuk tu aje ye jangan nak menambah pulak.
  7. Ikan sardin segar (bukan yg dalam tin tu) adalah sejenis oily fish maka ia amat bagus untuk otak. Jadi sangat2 elok dimakan selalu terutama untuk anak-anak kecuali wanita hamil kurangkan hanya kepada 2 kali seminggu sahaja.
  8. Sempoikan resepinya so janganlah tanya mengapa tak bubuh lengkuas, bawang putih, halia atau apa-apa sahaja sbb nie resepi laksa utara sebetulnya. Jika anda hendak bubuh dan ia sedap di lidah anda, silakan sebab dalam resepi tak ada salah atau betul asalkan ia jadi sedap. Kita buat dia bukan dia buat kita.

Oh ya saya nak tunjukkan satu gadget yang saya beli baru-baru nie. oleh kerana saya selalu bawa bekal lunch ke pejabat sebab saya masak ikut menu diet. Saya akan panaskan dalam microwave. Untuk elakkan makanan dipanaskan direct dalam microwave yang mana kita tahu bahayanya sinaran tu dan penyebab kanser maka saya guna periuk nie untuk memanaskan makanan saya. Ia berfungsi seperti periuk yang dimasak diatas api malah ia boleh digunakan untuk memasak dalam microwave. Empress microwave cooker dari Cosway nie boleh digunakan untuk steam sayur, pau, grilled salmon, steak, boleh buat stew daging, buat sup malah saya pernah buat mee bandung mengunakan periuk nie di ofis.



Kuah laksa saya masak semula dalam periuk nie dalam masa 10 minit. memang panas mengelegak bila tudung periuk dibuka. So saya tak adalah makan makanan sejuk wp bawak bekal.

Thursday, December 16, 2010

mihun sup daging




Entry tertunggak, hidangan lunch saya pada hari rabu. Dalam tempoh 10 minggu nie mihun sup ayam atau daging memang kerap saya masak sebagai hidangan lunch saya. Bila sebut sahaja diet selalunya orang akan bayangkan masakan yang rebus atau kukus. Diet saya yang mengunakan thebiggestloserclub tidak menghadkan makanan rebus atau kukus sahaja......saya boleh makan apa sahaja asalkan dalam small portion dan dalam lingkungan kalori yang ditetapkan. Oleh itu minyak atau butter bukanlah 'musuh' saya asalkan ia sedikit dan tidak diambil berlebihan.


Saya bekerja 7-5, 5 hari seminggu, lepas kerja 2 jam kat gym....balik rumah sudah jam 7.30/8 malam. So selalunya makanan yang boleh disediakan secara ringkas dan simple adalah pilihan saya seperti roti sandwich dan salad. Kalau sup macam nie selalunya saya sediakan pada hari ahad kemudian masukkan dalam bekas2 kecil utk satu hidangan dan bekukan. bila nak bawa bekal saya cuma celur sayur-sayuran dan mee atau mihun. Bila tengahhari saya panaskan kat microwave guna periuk khas.


Inilah resepi mihun sup simple saya. Hidangan ini untuk 4 orang makan. Kalori bagi satu mangkuk sup yang berukuran 16 1/2 cm adalah 151 kalori. Sayur-sayuran dalam lingkungan 36 kalori so satu hidangan 187 kalori.


Mihun Sup daging


Bahan-bahannya:-

  • 160gm mihun
  • 2 kuntum cengkih
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 10gm daun sup
  • 100gm daging
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 cm halia
  • 1 bungkus sup bunjut
  • sedikit garam
  • 1/2 tsp lada sulah

bahan tambahan: 1/2 biji tomato dipotong baji, sayur sawi dicelur dan sedikit taugeh dicelur serta lada kicap.


Cara-caranya:-

  1. Panaskan periuk dan tumis kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih dan bunga lawang. Kemudian masukkan hirisan bawang merah dan putih dan halia dalam periuk. tumis sehingga kekuningan dan naik bau. Masukkan daging dan kacau sehingga daging berubah warna. Masukkan air dan sup bunjut. Renehkan dengan api perlahan sehingga daging lembut. Masukkan garam dan lada sulah. Angkat.
  2. Panaskan air dalam periuk yang lain. Biar sehingga mendidih dan masukkan mihun, biarkan sehingga lembut. Angkat dan toskan
  3. Masukkan mihun dalam mangkuk dan hiaskan dengan hirisan daun sup, sawi, taugeh dan tomato. Tuang kuah sup diatas mihun. Hidangkan bersama lada kicap.

Note : saya tak suka tomato mentah sebab tu saya masukkan dalam sup begitu juga dengan daun sup.

Tuesday, December 14, 2010

Mee Goreng




Nie mee goreng yang dibuat untuk dinner semalam. Goreng untuk 2 kali makan, dinner dan sebagai bekal lunch esok harinya. Kalau saya buat mee goreng nie bagi anak-anak saudara saya makan mesti berjam-jam mereka kat pinggan buang sayur yang extra banyak dalam tu.


Tapi kan diet saya dah rosak hari nie, saya simpan bekal lunch nie dan makan nasi kukus ayam goreng Sri Petaling yang dibeli oleh rakan sekerja. Bau ayam goreng berempah yang masih panas sbb baru lepas keluar dari kuali dan bau mengoda kuah kari daging, kari ayam dan kuah pajeri nenas yang dituang atas nasi dan kegebuan nasi kukus telah berjaya mengoda saya untuk menjamahnya....dan habis sepinggan. Silaplah tak ambil gambar tadi....kalau tak mesti boleh goda anda semua pulak untuk gi cari nasi kukus ayam goreng berempah.


Waaaaa untuk lunch hari nie kalori dah 1200, pagi tadi 250 so dah 1450 kalori. Malam nie nampaknya makan buah ajelah ye. Kadar pengambilan saturated fat juga mencecah 14% (lebih 6% dari had yang dibenarkan). Dok termenung jap tadi masa lepas isi My Diary.....nampaknya kena 2 jam kat gym petang nie dan petang esok untuk cover balik lebihan kalori.






Seperti biasalahkan mee goreng nie dibuat mengunakan
paste kuew teow yang dibuat banyak2 dan disimpan oleh orang yang tak berapa rajin macam saya nie. Saya tumis bawang putih dan masukkan 1 sudu makan cili boh, sedikit air dan 2 sudu makan paste kuew teow, pastu humban semua sayur2 tu, fish ball dan masukkan mee. Kacau dah siap. Senangkan....dasar orang malas heheheh.

Monday, December 6, 2010

Char kway teow paste

Untuk orang bujang seperti saya, yang masak hanya untuk seorang makan dan selalunya hidangan tu saya hendak ia siap cepat. Kali pertama mencuba penang char kuey teow yg disumbangkan oleh che'iza kat myresepi, saya terus ter berkenan dengan paste char kuey teow tu. Saya buat doublekan sukatan paste, masak elok2, masukkan dalam botol dan simpan dalam peti ais. Nak guna saya just tumiskan bawang putih, cili boh dan masukkan satu sudu paste dalam kuali, masukkan kuey teow, sayur dah siap....senangkan.


Ini paste char kuey teow yang telah dimasak dan dibotolkan




Char Kuey Teow Paste
Resepi asal dari che'iza @ myresepi, sila
kesini untuk resepi asal
Gambar dan publis oleh resepidaria.blogspot.com

Bahan-bahannya:-
  • 400 gm udang (pisahkan kulit udang dan isi udang)
  • 500ml air
  • 8 ulas bawang putih di ketuk
  • 12 sb sos tiram
  • 6 sk kicap pekat
  • 6 sb kicap manis
  • 2 sk petis
  • 4 sb pati ikan bilis / pati udang (sy tak masukkan sbb kandungan sodium tinggi dalam makanan yg diproses)
  • 2 sk garam (sos tiram dah masin so agak2 ye)
  • 2 sk gula

Cara-caranya:-

  1. Didihkan air dan masukkan isi udang. Bila isi udang hampir masak, angkat isi udang dan masukkan kulit udang biar ia terus mereneh dengan api perlahan. Tapis dan ambil air udang sahaja, kulit udang dibuang.
  2. Campurkan semua bahan utk paste seperti diatas dgn air rebusan udang tadi, reneh hingga menjadi paste yg agak pekat. Matikan api biarkan paste sejuk dan bolehlah simpan dlm fridge.

Saya guna paste tu untuk buat kuey teow goreng atau beehoon goreng. Kan jimat masa, tumis bawang putih, masukkan cili boh dan lepas tu sesudu atau 2 sudu paste. Jangan tambah garam atau gula lagi ye sbb dalam paste dah ada garam dan gula. Jaga pengambilan garam(sodium) dalam makanan anda. Had sodium yang dibenarkan diambil oleh tubuh kita adalah 2300mg untuk sehari.


Ini adalah kuey teow yang masih belum dipotong.


Kuey teow yang telah digoreng mengunakan paste diatas, sy tak masukkan telur sbb dah guna udang dan tauhu. Jangan tambah kalori anda dengan tambah telur, kalau nak masuk telur, jangan masuk udang. Sayur kena banyak.



Ini adalah beehoon goreng, saya tetap guna paste yang dibuat itu untuk digunakan mengoreng beehoon atau mee.

Sunday, October 31, 2010

Homemade Kway Teow Noodles


Dalam menu diet saya, untuk lunch selalunya menu ringan seperti beehon sup, kway teow, sandwich, baked chicken with salad, baked salmon with salad dll. Kalau nak beli kway teow kedai, selalunya terlalu oily sebab tu saya mencari di internet bagaimana nak buat homemade char kway teow.


Saya jumpa satu blog nie iaitu neckredrecipes.blogspot.com, homemade kway teow yg dibuatnya begitu cantik sekali siap diselitkan dengan video step by step proses nak buat kway teow. Nice blog. Macam nie lah baru dinamakan blogger yang kreatif dan ada kelas tersendiri.....bukannya curi entry & gambar blog orang lain lepas tu publish kat blog sendiri. Itu perbuatan orang pemalas dan tak guna. Nak buat kerja senang saja.....habis semua entry kat blog kembangcabe.blogspot dan separuh entry kat blog saya di ciplak oleh http://resepi.tipsone.com @ dia patut tukar nama kepada http://resepi.thiefNumberOne.com. Tak habis lagi marah saya hahahha


Saya rekemenkan kepada anda untuk mencuba resepi nie......memang bagussss betul resepi nie. Cantik je char kway teow.....memang tepatlah sukatannya. Saya belum goreng lagi sebab banyak bahan tak ada kat peti ais tu.


Oklah ini resepinya.....cuba tau jangan tak cuba, rugiiiii. Baik buat sendiri sebab tak ada bahan kimia dan kita tahu apa yang kita masukkan dalam makanan kita.

Homemade Kway Teow Noodles
Sumber: Sila rujuk disini
Foto and publish by resepidaria.blogspot.com

Bahan-bahannya (dapat 1/2 kg):-
  • 150gm tepung beras
  • 1 1/2 tbsp tepung wheat starch (tepung kanji gandum)
  • 2 tbsp tepung jagung
  • 400ml air sejuk (letakkan 2/3 ketul ais didalam air dan biarkan sejuk)
  • 1 tbsp minyak
  • 1/2 tsp garam

Cara-caranya:-

  1. Didalam bekas, campurkan semua tepung beras, tepung jagung dan wheat starch. Masukkan air sejuk/air peti ais dan gaul rata.
  2. Masukkan minyak dan garam. gaul sebati.
  3. Ketepikan bekas bancuhan dan biarkan selama 1 jam atau lebih
  4. Sediakan bekas pengukus atau steamer. Panaskan air kukusan.
  5. leserkan sedikit minyak pada setiap permukaan tray anda
  6. Hasil kway teow bergantung kepada tray anda.....saya guna 5 tray untuk kukus dan satu tray tidak menghasilkan kulit yang cantik sebab tray tersebut agak nipis. testing dulu yang mana elok.
  7. Kacau adunan tepung anda dan ambil 1/2 senduk dahulu dan tuang kedalam tray.....biar ia merata di permukaan tray, jangan terlalu tebal....agak2. Buat satu dulu lepas tu yang lain tu anda adjust sukatannya.
  8. Kukus selama 5 minit.
  9. Angkat tray dan letakkan diatas dulang yang berisi air supaya ia cepat sejuk.
  10. Tunggu sampai betul-betul sejuk dulu baru tarik keluar kulit kway teow dari tray.
  11. Gulung kulit kway teow seperti gambar dibawah nie
  12. potong dalam anggaran 1/2 inci @ terpulang kepada anda
  13. Buka gulungan kway teow dan letakkan dalam bekas.


Nota:
  • Tepung wheat starch anda boleh dapati dari Bakewithyen atau di supermarket. Masyarakat cina banyak guna tepung nie dalam masakan mereka seperti untuk buat dim sum. Tepung ini menghasilkan kulit kuih yang lutsinar.
  • Biar betul2 sejuk, baru tarik keluar kulit dari tray.
  • Jika anda lihat gambar di nombor 9, tray tersebut tidak menghasilkan kulit yang cantik. Kulit jadi sedikit berkedut dan melekat dan tidak licin. Testing dulu tray anda....jika hasil tak cantik, guna tray lain. lepas kulit dikeluarkan dan basuh tray tersebut dan lap bersih dan sapu sedikit minyak semula.
  • Minyak hendaklah disapu nipis dan rata.
  • Tray saya 4 segi sebab saya guna trio steamer. Cuba guna tudung periuk yg leper tu mungkin boleh buat jugak kot macam nak buat laksam.
  • Psstttt cuba buat lapisan nipis-nipis ye sbb kalau tebal tak sedap.

Thursday, August 26, 2010

Mee rebus terengganu

Petang semalam teringin nak makan masakan yang berkuah....kosong dan tak melibatkan santan. Sejak bulan puasa nie cepat lak habis stok santan kotak tu dan kerap lak gi tengok muka lelaki india yg jaga kedai runcit kat apartment nie utk beli kelapa. petang nie nak buat sesuatu yg plain saja....so saya buatlah mee rebus ala terengganu versi adik perempuan saya. Masa singgah Tesco terlupa beli fish cake n fish ball so singgahlah kat Bintang Supermarket.....tapi bila tengok keadaan fish cake/fish ball kat situ terus meloya tekak.....so belilah chicken ball ayammas....ball jugak ganti fish ball.

Ini hidangan kegemaran anak-anak saudara saya yang kat Terengganu....dia orang tak pandang kalau buat kuih2 nie....sentuh pun tidak...tapi kalau buat mee rebus nie, berpinggan boleh habis....masakan berkuah macam singgang, sup, sayur air, yang rebus2 kosong tu laku sungguh kat rumah adik saya tu. Mereka tak macam kami yg suka kari @ gulai (orang utara kan).....hari2 kena ada kari...hari nie kari ayam, esok ikan, lusa kari daging, pastu tukar balik kari ayam dan seterusnya. Lepas adik saya kahwin dengan org Tganu dia kena tukar habit....masak singgang sokmo. Mee rebus nie dia yang ajar....sebab laki dia suka makan macam tu.


Dalam keluarga kami kalau time berbuka kuih muih kena ada.....sbb masa kami kecil, mak buat kuih meniaga kat bazar ramadan so every day ada saja jaudah kuih yg mak buat atau yg disedekahkan oleh peniaga2 kat bazar bila dah nak magrib. Mak bagi kuih jualan mak yg tak habis mereka pulak bagi kuih/masakan jualan mereka yg tak habis....bila sampai rumah penuh meja dengan kuih dan manisan. Sebab tulah sampai sekarang saya kena ada kuih atau manisan klu nak berbuka wp duduk bujang. Rasa tak lengkap kalau tak ada.

Semalam buat mee rebus nie.....bubuh banyak halia, lada hitam dan bawang putih...makan pulak dengan lada kicap...fuhhhh sedapnya. Masa berbuka puasa .....mee rebus, sahur pun mee rebus.....petang nie pun kena mee rebus jugak lah nampaknya sbb banyak pulak balance kat dalam periuk tu. Saya dah pernah postkan resepinya kat sini....kalau nak mencuba.


Nie gambar tanpa kuah sbb lagi 15 minit nak berbuka...takut kembang pulak mee tu. Kat belakang dia tu rock melon dan kuih pulak hari nie adalah karipap yang dibeli kat Ikea. Kat Ikea tu bukan saja jual perabut....peralatan rumah tapi kuih raya pun dia jual jugak. Kuih raya dia sedap tau....satu bekas RM10 saja....ada tat nenas, almond london, kuih suji...macam2lah. Sykt yg buat kuih raya tu adalah syarikat org cina...pandai depa cari duitkan....semalam masa nak berbaris utk bayar...setiap orang kurang-kurang 5 pek mesti ada kat trolly.....wp RM10 tapi sedap tu yg depa pakat beli. Saya tak pernah beli lagi cuma kawan2 yg tiap2 tahun borong kuih raya Ikea kata sedap.

Saturday, June 19, 2010

Mee Bandung

Teringin sungguh nak makan mee yang berkuah macam nie. puas fikir nak buat mee apa ye. kalau nak buat mee rebus, bahan2 tak cukup. Akhirnya buatlah mee bandung nie. mee nie kat Bandung, Indonesia tak ada ye. ia hanya ada kat Muar, Johor....yang paling sedaplah. oklah inilah resepi mee bandung yang saya buat.MEE BANDUNG
Photo by resepidaria.blogspot
recipe hasil dari carian internet tapi sy terlupa nak catatkan laman web tersebut.


Bahan-bahannya( utk 2 org makan):-

Bahan Kuah

  • 5-6 biji lada kering (rebus dan toskan)
  • 6 ulas bawang putih-diketuk
  • 3 ulas bawang merah-dimayang halus
  • 1/4 cawan udang kering (basuh dan toskan)
  • 6-8 ekor udang hidup sederhana (buang kulit dan biarkan ekor udang sahaja)
  • 1 cawan daging - direbus dan dihiris halus, air rebusan disimpan(saya guna 1 ketul dada ayam, potong dan rebus untuk dapatkan air rebusan)
  • 1-2 sudu makan gula (bergantung kepada kemanisan yg anda sukai)
  • 2-3 cawan air rebusan daging/ayam tadi
  • 1 sudu makan sos tiram
  • garam secukupnya dan minyak untuk menumis.
  • 2 batang sawi (asingkan batang sawi dengan daun sawi)
Cara memasak kuah:
  1. Kisar halus cili kering, udang kering dengan 1/2 cawan air rebusan ayam.
  2. Tumis bawang putih sehingga naik bau, masukkan bawang merah dan masukkan bahan kisar. Biarkan sehingga betul-betul masak. tambah sedikit air jika kering.
  3. Masukkan air rebusan daging/ayam.
  4. Masukkan bahan perasa seperti gula, sos tiram dan garam. Masukkan batang sawi, masak sehingga batang sawi lembut.
  5. Angkat.

Bahan Mee dan bahan sampingan

  • 1/2 kilo mee
  • daun sawi (dari 2 batang sawi yg dipotong diatas-lebihkan jika anda suka)
  • 1/4 kobis - dipotong
  • daging ayam yang direbus
  • 6-8 ekor udang hidup sederhana (buang kulit dan biarkan ekor udang sahaja)
  • 1 biji telur
  • Hiasan-hirisan cili merah, bawang goreng dan daun sup
  • anda boleh tambah sayur lain ikut kesukaan anda

Cara-caranya:-
  1. Basuh mee supaya minyak berlebihan bau kapur dikeluarkan
  2. Celur mee dalam air panas sebentar dan toskan. Letakkan kedalam pinggan yang hendak dihidangkan.
  3. Masukkan kuah mee untuk anggaran satu pinggan kedalam periuk. Masukkan ayam dan biarkan sebentar. biarkan ia betul2 panas.
  4. Pecahkan telur dan biarkan sehingga ia separuh masak.
  5. Masukkan sawi, kobis dan udang.
  6. Tuangkan kuah keatas mee
  7. taburkan dengan potongan cili merah dan daun sup sebagai hiasan (sy tak bubuh pun)
Tips:-

Supaya telur cantik ketika dimasukkan kedalam kuah. Pastikan kuah betul-betul panas dan ambil sudu buat 2-3 pusingan arah jam. pecahkan telur dan masukkan ditengah2 kuah. pusingan kuah akan memastikan telur menjadi bulat seketul.

Friday, April 16, 2010

Mihun Goreng Merah

Mihun goreng nie saya buat semalam tapi disebabkan masalah server lembab nak download 1 gambar dekat 30 minit maka saya tunda entry nie. Resepi saya nie simple saja. Saya masukkan bahan2 yang ada dalam peti ais saja...so anda boleh tambah bahan lain jika anda suka.

Mihun Goreng Merah

Bahan-bahan

1/2 bungkus mihun - direndam
300gm udang
1 paket fish cake
3 batang sawi-dipotong (asingkan batang dan daun sawi)
3 ulas bawang putih - dihiris untuk ditumis
2 ulas bawang merah - dihiris untuk ditumis
5-7 biji cili kering - diblender
2 biji tomato - diblender
1/3 cawan sos cili
1/2 sudu makan gula
1/2 kiub ayam (optional)
Jika anda tidak guna kiub ayam, tumbuk hancur 1 sudu udang kering
sedikit garam
Air secukupnya

Cara-caranya
  1. Rendam cili dengan air panas dan kemudian blender cili kering masukkan sedikit minyak bersama supaya mudah hancur.
  2. Goreng fish cake dan potong kecil.
  3. Tumis bawang yang telah dihiris sehingga naik bau kemudian masukkan cili yang telah diblender. Masak sehingga naik minyak. Biar lada betul2 masak.
  4. Masukkan tomato + air dalam blender dan blender lumat. Apabila lada sudah masak, masukkan tomato, sos cili, kiub ayam/udang kering, gula dan garam. Masak sebentar.
  5. Masukkan batang sawi, biarkan sehingga lembut. masukkan udang
  6. masukkan pula mihun yang telah direndam dan kacau sebati.
  7. Akhir sekali masukkan pula daun sawi dan kacau sebati dengan semua bahan.
  8. Bila masak, angkat dan hiaskan dengan telur goreng yang dihiris halus.
Saya buat mihun nie untuk bekalan sarapan pagi dan juga untuk dijamu kepada kawan2 sepejabat. Oleh itu saya tumis semua bahan2 sos pada waktu malam. Mihun saya rendam semalaman sebab itu saya tidak masukkan sukatan air sebab ia terpulang kepada lama tempoh anda merendam mihun.

Setiap hari saya bangun jam 5.45 pagi so saya sempat mengoreng mihun sebab semua bahan telah siap sedia. Saya tak sempat nak hias mihun nie dengan hirisan telur goreng dan hirisan halus daun sup.Jam 6.45 saya dah bertolak ke pejabat.

Friday, March 12, 2010

Spaghetti Goreng



Ini adalah hidangan makan malam saya untuk hari ini. Hidangan simple yang boleh disediakan dalam tempoh masa 30 minit sahaja. Resepi ini diperolehi dari kawan saya Noriah Mainuri.


Spagetti Goreng



(dalam gambar nie saya terlupa masukkan lada bengala merah dan hijau)



Bahan-bahannya (untuk hidangan 1 orang):-


60gm spaghetti

1 @ 2 sosej Ayamas Premium Italian (dibelah 4 dan dipotong dadu)/ayam/daging

1/4 lada bengala/capsicum merah - dipotong dadu kecil @ besar ikut suka

1/4 lada bengala/capsicum hijau - dipotong dadu kecil @ besar ikut suka

1/2 biji bawang besar (putih)- dipotong dadu kecil @ besar ikut suka

1/2 tbsp Oregano/basil

Sedikit minyak untuk menumis

Bahan Tumisan

1/2 tbsp lada hitam **

1 @ 2 biji cili padi **

2 ulas bawang putih**

Sedikit garam **

(bahan ** dikisar halus)

40-50ml air

Cara-caranya:-

  1. Rebus spaghetti didalam periuk yang telah dimasukkan sedikit garan dan minyak. Rebus sehingga empok atau ikut masa seperti ditetapkan dalam paket. Toskan.
  2. Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak dan tumis bahan yang telah di kisar tadi sehingga kekuningan sahaja jangan sampai bawang putih jadi coklat.
  3. Masukkan ayam/daging/sosej (Kalau guna ayam/daging, masukkan daun basil bersama untuk memberi rasa tapi jika guna sosej italian tak perlu sebab ia telah berperasa). Masukkan sedikit air supaya spagetti tidak terlalu kering.
  4. Masukkan bawang besar, kacau sehingga layu
  5. Masukkan spagetti dan kacau rata
  6. Masukkan lada benggala, biarkan sebentar. Taburkan oregano dan tutup api

Nota:-

  • Oregano ini saya beli dari Bake with Yen dengan harga RM1.50 untuk 20gm. Harga ini lebih murah berbanding dengan oregano dalam botol.
  • Anda boleh gantikan ayam/daging dengan seafood. anda juga boleh masukkan cendawan yang dipotong halus untuk menambah rasa.

Tuesday, September 1, 2009

Mee Rebus Ala Terengganu


Hari nie perut meragam saje. Dari pagi tak selesa betul.....habis kerja terfikir nak buat mee rebus terengganu. Resepi nie Sabariah yang berikan....mee rebus yang dia sediakan memang sedap.

Bahan-bahannya

2 ketul ayam - dipotong kecil

1/2 - 1 inci halia- hari nie saya lebihkan halia untuk buang angin

1 sudu makan lada hitam - ditumbuk

6-8 ulas bawang putih-dihiris

2 ulas bawang merah - dihiris

4 batang sawi

1/2 batang karot

1 biji tomato - dipotong 6

3-4 ketul fish ball

2-3 ketul fish cake

Udang @ sotong - ikut suka kalau nak masuk

taugeh - kalau suka

telur - kalau suka

Mee kuning

air secukupnya

garam secukup rasa


Cili padi

seulas bawang putih

garam

kicap manis


Cara-caranya

1. Tumis bawang merah dan bawang putih sehinggan naik bau. Masukkan air, lada hitam, halia, ayam dan renehkan dengan api yang sederhana.

2. Masukkan fish ball, fish cake, karot, tomato, udang, sotong dan sawi. Kalau suka pecahkan telur dalam kuah tapi dah terlalu banyak bahan so saya tak bubuh. Jangan lupa garam. Kalau anda suka bubuhlah 1/2 kiub ayam.

3. Basuh mee dan celur dengan air panas sebentar. Tapis dan hidangkan

4. Tumbuk cili padi + garam + lada putih hingga lumat. Masukkan kicap manis.

5. Hidangkan bersama taugeh yg telah dicelur.
======================
Saya suka mee rebus nie bila perut meragam. Lada hitam yg banyak, bawang putih dan halia direneh perlahan-lahan menghasilkan kuah yang menyegarkan. Bagus untuk buang angin.